BUDI95: Dasar baharu tidak jejas bekalan RON95 untuk rakyat - Pakar

SHAH ALAM- Dasar baharu kerajaan terhadap subsidi petrol tidak akan menjejaskan bekalan minyak RON95 untuk rakyat tempatan walaupun warga asing kini dibenarkan membeli pada harga pasaran tanpa subsidi.
Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bekalan yang ada mencukupi dan penggunaan RON95 oleh warga asing juga agak minimum.
Menurutnya, walaupun secara teori kerajaan boleh menetapkan warga asing boleh membeli RON97 sahaja, namun pemantauannya akan menjadi lebih rumit kerana akan ada tiga jenis mekanisme harga yang perlu dilaksanakan.
“Memang dengan harga RM2.60 seliter tanpa subsidi, masih murah jika dibandingkan dengan negara lain khususnya negara jiran. Jadi, kita boleh jangkakan mereka mungkin akan cenderung masuk ke dalam negara kita untuk mengisi RON95.
“Bagaimanapun, untuk mengatakan ia akan menyebabkan bekalan tidak cukup, saya rasa tidak akan berlaku sebab penggunaan mereka hanya minimum dan bekalan kita mencukupi.
“Kalau kita lihat, bukan semua yang masuk ke negara ini berkereta kerana ada yang melancong. Bagi pasaran RON97 pula, masih tinggi kerana sasarannya adalah kenderaan berprestasi tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bermula 30 September ini, bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak untuk subsidi dan mereka perlu membayar harga tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter untuk RON95 sementara RM1.99 untuk rakyat menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) Buat masa ini, warga asing hanya dibenarkan membeli petrol RON97 dan tidak dibenarkan mengisi RON95 bersubsidi di Malaysia, bertujuan memastikan petrol RON95 disubsidi hanya untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Tambah Ahmed Razman, langkah yang dibuat ini penting bagi memastikan kerajaan tidak akan terbeban dengan subsidi lagi, termasuk salah guna oleh warga asing.
“Saya melihat tiada perbezaan besar margin keuntungan antara RON95 dan RON97 sebab kedua-duanya sudah diapungkan mengikut harga pasaran,” jelasnya.
Secara keseluruhan, beliau melihat pendekatan kerajaan ini sebagai satu komitmen penting dalam menambah baik pengurusan fiskal negara.
“Ini adalah komitmen kerajaan untuk tambah baik dan penjimatan yang diperoleh daripada rasionalisasi ini dapat meningkatkan lagi peruntukan ke atas bantuan yang bersasar seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dengan SARA (Sumbangan Asas Rahmah).
“Ini komitmen untuk memastikan tidak lagi berlaku pembaziran ataupun ketirisikan fiskal dan nampaknya impak itu positif sebab kita tengok sentimen pembelian Ringgit juga meningkat dan lebih kukuh berbanding Dolar Amerika Syarikat,” jelasnya.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim pula berkata, isu ketidakcukupan bekalan RON95 kepada rakyat tempatan tidak akan berlaku kerana Malaysia juga merupakan negara pengeluar minyak.
Jelasnya, walaupun permintaan RON95 dijangka meningkat apabila warga asing dibenarkan untuk membelinya, bekalannya masih mencukupi kerana penggunaan warga asing terhadap RON95 adalah tidak sebesar jumlah warga tempatan.
Malah, beliau yakin bahawa kerajaan mempunyai mekanisme tersendiri bagi menangani isu berkenaan supaya kebocoran dan manipulasi RON95 tidak berlaku dalam pasaran.
“Pada masa sama, saya menjangkakan ia sedikit sebanyak memberi impak kepada penggunaan dan penjualan RON97 sekiranya bukan warga tempatan dibenarkan menikmati harga RON95 tanpa subsidi.
“Dalam erti kata lain, peluang ini akan digunakan oleh warga asing sekiranya harga RON95 tanpa subsidi di Malaysia lebih murah berbanding dengan negara-negara jiran. Ini akan menyebabkan permintaan terhadap RON97 akan mengalami pengurangan manakala permintaan terhadap RON95 akan mengalami peningkatan mendadak.
“Warga asing akan menikmati RON95 tanpa subsidi secara terbuka tanpa ada sekatan dan halangan. Ini dilihat memberi keselesaan kepada mereka dan membuka ruang kemungkinan berlakunya ketirisan dan kebocoran dalam pasaran jika ia tidak dibendung,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Dasar baharu kerajaan tentang subsidi petrol tidak akan menjejaskan bekalan RON95 untuk rakyat Malaysia meskipun warga asing dibenarkan membeli RON95 pada harga pasaran
- Penggunaan RON95 oleh warga asing dijangka minimum dan bekalan dalam negara mencukupi
- Pemantauan atas pembelian RON97 oleh warga asing akan lebih rumit dibandingkan dengan sistem sekarang
- Langkah ini diambil untuk mengelakkan kerajaan terbeban dengan subsidi petrol dan mencegah penyalahgunaan oleh warga asing
- Pendekatan kerajaan ini dianggap sebagai langkah untuk memperbaiki pengurusan fiskal negara dan memastikan tidak berlaku pemborosan fiskal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

