Saksi hanya dengar perbualan berkaitan kes curi, tidak nampak Zara Qairina dicederakan

Saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada tindakan mencederakan dilihat, hanya terdengar suara memarahi Zara Qairina (gambar kecil) sebelum dia keluar menangis.
Saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada tindakan mencederakan dilihat, hanya terdengar suara memarahi Zara Qairina (gambar kecil) sebelum dia keluar menangis.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini pada Isnin bahawa dia tidak melihat sebarang tindakan menyentuh atau mencederakan Zara Qairina Mahathir semasa perjumpaan dengan lima pelajar senior di bilik asrama berhubung dua kes kecurian dompet.

Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada remaja yang terbabit dalam kes buli Zara Qairina berkata, saksi memaklumkan perjumpaan tersebut diadakan pada kira-kira jam 10.20 malam 15 Julai lepas iaitu sehari sebelum pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan tidak sedarkan diri.

Berkongsi keterangan saksi kanak-kanak ke-6 itu selepas prosiding inkues, Ram Singh berkata, menurut saksi, dia juga terdengar perbualan mengenai kes kecurian antara Zara Qairina dan seorang pelajar senior namun tidak begitu jelas kerana jarak mereka agak jauh.

"Kata saksi, dia turut melihat empat lagi pelajar senior masuk ke dalam bilik berkenaan... selepas itu, saksi dengar suara seseorang bercakap dengan nada kuat seolah-olah memarahi Zara Qairina tetapi saksi tidak pasti siapa yang bercakap ketika itu.

"Kira-kira jam 11 malam, Zara Qairina keluar dari bilik dalam keadaan menangis... ia merupakan kali terakhir saksi melihat Zara Qairina pada malam tersebut,” kata Ram Singh sambil menambah saksi itu juga mengesahkan bahawa dia tidak mendengar sebarang pergaduhan berlaku antara jam 11 malam hingga 3 pagi, iaitu dari 15 hingga 16 Julai lepas.

Pada prosiding hari ini, saksi ke-6 itu juga menjelaskan istilah "MA" yang digunakan pelajar merujuk kepada "Mesyuarat Asrama", dan perjumpaan antara pelajar senior dengan Zara Qairina pada malam 15 Julai lepas, bukanlah MA.

Selain saksi berkenaan, mahkamah juga mendengar keterangan saksi ke-5, yang juga pelajar di sekolah itu.

Ketika menjelaskan keterangan saksi ke-5, peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat kanak-kanak tertuduh dalam kes buli si mati, berkata saksi memaklumkan bahawa Circle-19 ialah kumpulan pelajar yang melakukan aktiviti bersama-sama untuk program sekolah, dan bukanlah "geng" atau kumpuan terbabit dalam gengsterisme di asrama.

"Saksi terbabit turut menyatakan kumpulan Circle-19 itu tidak terlibat dalam perjumpaan Zara Qairina dan tidak terlibat mengepung remaja itu pada malam 15 Julai. Saya juga bertanya sama ada kumpulan Circle-19 ini terlibat secara langsung dalam kematian arwah, dan saksi menjawab 'tidak'," kata Azhier.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina ketika menjelaskan keterangan saksi berkenaan, turut berkata saksi memberitahu mahkamah bahawa tabiat pelajar senior memarahi atau menegur secara keras ialah perkara biasa dalam kalangan pelajar asrama.

"Menurut saksi, pelajar junior dianggap perlu melalui pengalaman itu kerana pelajar senior sendiri pernah mengalaminya," katanya sambil menambah bahawa saksi turut menyifatkan Zara Qairina sebagai seorang yang ceria, peramah dan tidak menunjukkan sebarang tanda masalah mental atau tekanan emosi sebelum kejadian.

Kedua-dua saksi berkenaan telah selesai memberikan keterangan, dan prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran dengan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, AGC mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.

Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. - Bernama

 

Ringkasan AI

  • Seorang saksi kanak-kanak tidak melihat tindakan menyentuh atau mencederakan Zara Qairina dalam perjumpaan di bilik asrama Perjumpaan tersebut berlangsung jam 10.20 malam 15 Julai, sehari sebelum Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri Saksi mendengar perbualan antara Zara Qairina dan pelajar senior tentang kes kecurian dompet tapi tidak jelas Empat pelajar senior masuk ke dalam bilik dan saksi mendengar suara marah pada Zara Qairina tapi tidak pasti siapa Zara Qairina keluar dari bilik menangis pada jam 11 malam, saksi tidak dengar pergaduhan dari jam 11 malam hingga 3 pagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!