Polis tahan lelaki tular pukul anjing hingga mati

IPOH - Polis menahan seorang lelaki selepas tular rakaman video menunjukkan dirinya memukul seekor anjing peliharaan menggunakan sebatang besi sehingga mati di sebuah rumah di Taman Arkid di sini baru-baru ini.
Video berdurasi 1 minit 31 saat itu dimuat naik di laman sosial Instagram oleh akaun Malaysian Animal Organization yang mendapat perhatian orang ramai.
Meskipun dihalang, lelaki terbabit dilihat bertindak nekad mengejar anjing malang itu dan memukulnya sehingga berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan mengenai kejadian tersebut telah diterima pada 19 September lalu di Balai Polis Menglembu.
"Suspek kini berada dalam jaminan polis sementara siasatan lanjut dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana penganiayaan terhadap haiwan.
Katanya, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah terhadap ahli keluarga.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan semula sebarang video atau kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
"Polis memandang serius sebarang kes penganiayaan haiwan dan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi tindakan lanjut," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penganiayaan haiwan boleh menyalurkannya kepada polis atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan selanjutnya.
Ringkasan AI
- Polis menahan seorang lelaki di Ipoh kerana memukul anjing peliharaan sehingga mati
- Rakaman video penganiayaan itu tular di Instagram
- Lelaki tersebut bertindak nekad walaupun dihalang
- Suspek kini berada dalam jaminan polis untuk siasatan lanjut
- Kes disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

