Mengaku pukul anjing hingga mati, pemuda didenda RM20,000

IPOH – [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah memukul seekor anjing menggunakan sebatang besi yang videonya tular di media sosial, dua minggu lalu.
Majistret Anis Hanini Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap mekanik, M Thineshkumar, 23, dan memerintahkan tertuduh dipenjara satu bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejam memukul seekor anjing jantan dengan menggunakan sebatang besi sehingga mengalami kecederaan di sebuah rumah di Lebuh Kledang Utara, Taman Arkid, Ipoh antara jam 10.30 malam 18 September hingga jam 9 pagi 19 September 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd Kohar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, tindakan tertuduh telah dihalang oleh ibunya, namun tidak diendahkan.
Anjing berkenaan telah dibawa ke klinik haiwan pada keesokan harinya dan hasil pemeriksaan doktor mendapati, haiwan tersebut mengalami kecederaan parah di kepala serta hidung akibat pukulan serta terdapat punctured wound (luka tebuk).
Haiwan itu kemudiannya di bawa pulang, namun tidak dapat diselamatkan dan mati pada petang hari yang sama.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki di Ipoh didenda RM20,000 kerana memukul anjing hingga mati
- Majistret memerintahkan sebulan penjara jika gagal bayar denda
- Dia didakwa memukul anjing dengan besi sehingga cedera parah
- Kejadian berlaku di Taman Arkid, antara 18 dan 19 September
- Tertuduh dikenakan tuduhan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

