Arak komoditi utama cuba diseludup masuk ke Malaysia

PELABUHAN KLANG – Minuman keras antara komoditi utama yang didapati cuba diseludup masuk ke negara ini menerusi siri operasi dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, sebanyak 57 cubaan penyeludupan minuman keras berjaya digagalkan dengan nilai rampasan RM6.7 juta dan anggaran cukai RM28.8 juta.
"Arak menjadi pilihan sindiket kerana cukainya tinggi selain permintaan pasaran berterusan.
"Mereka menggunakan pelbagai taktik termasuk menukar laluan masuk serta mencampurkan barangan dalam kontena bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Pulau Indah, di sini pada Isnin.
Katanya, rokok turut menjadi komoditi utama dengan 39 kes rampasan bernilai RM3.23 juta dan cukai RM26.3 juta, diikuti tembakau dengan 15 kes bernilai RM6.6 juta serta cukai RM15.5 juta.
"Selain itu, JKDM Selangor turut merampas mercun bernilai RM1.4 juta, dadah (RM2.6 juta), sekerap (RM56.5 juta), besi (RM2.5 juta), barangan elektrik (RM6.4 juta) dan daging sejuk beku (RM12.6 juta).
"Secara keseluruhan, operasi dari 1 Januari hingga 31 Ogos lalu menyaksikan 539 kes berjaya dipatahkan dengan nilai rampasan mencecah RM124.7 juta manakala jumlah cukai yang terlibat dianggarkan RM84.4 juta," katanya.
Menurutnya, JKDM Selangor merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk rakan strategik yang sentiasa memberi sokongan dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan yang merugikan negara.
Ringkasan AI
- Minuman keras adalah komoditi utama yang cuba diseludup masuk ke Malaysia, dengan 57 cubaan penyeludupan digagalkan oleh JKDM Selangor
- Nilai rampasan minuman keras RM6.7 juta dan anggaran cukai RM28.8 juta
- Sindiket menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak dikesan termasuk menukar laluan masuk dan mencampurkan barangan dalam kontena
- Rokok dan tembakau juga merupakan komoditi utama yang diseludup masuk
- Operasi dari Januari hingga Ogos mendapati 539 kes penyeludupan berjaya digagalkan dengan nilai rampasan RM124.7 juta dan cukai terlibat RM84.4 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

