'Teater kini lebih mendidik, bukan lagi lakonan semata-mata'

IPOH - Perjuangan selama lebih empat dekad memartabatkan seni teater berjaya menobatkan Rashidi Abdul Kharis, 62, sebagai penerima Anugerah Tokoh Sepanjang Zaman sempena Anugerah Seni Budaya Negeri Perak 2025 di sini pada Sabtu.
Penasihat Persatuan Deklamasi Lakon Perak itu menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghormatan kepada dirinya, tetapi juga seluruh penggiat teater yang komited menjadikan teater sebagai wadah pendidikan.
Meskipun sudah bersara daripada perkhidmatan kerajaan, beliau masih aktif meneruskan kelas teater untuk kanak-kanak dan dewasa melalui Akademi Teater Perak yang diasaskannya sejak 2010.
"Teater bukan sekadar lakonan semata-mata, ia mempunyai nilai pendidikan yang mampu membentuk sahsiah, keberanian dan disiplin seseorang.
"Dalam erti kata lain, teater memanusiakan manusia, ia mengajar kita menghargai diri sendiri, masyarakat dan negara," katanya ketika ditemui pemberita.
Rashidi mengakui, berlaku perubahan besar dalam dunia teater sejak memulakan penglibatan pada 1984, khususnya penerimaan sekolah terhadap seni tersebut.
Katanya, dahulu teater dianggap hiburan kosong, malah ada yang memandang rendah, namun kini semakin ramai pelajar dan guru memahami peranan teater sebagai sebahagian daripada pendidikan.

"Usaha ini selari dengan program yang dianjurkan Kementerian Pendidikan menerusi pertandingan teater di sekolah yang menunjukkan ia mula diterima sebagai medium pembelajaran kreatif," katanya.
Mengulas perkembangan terkini, bapa dua anak itu berkata, teater kini tidak lagi terhad kepada pentas besar tetapi boleh dilaksanakan di mana-mana malah secara dalam talian.
Ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, beliau menjadi individu pertama di Perak yang menganjurkan pertandingan teater secara maya dengan melibatkan kanak-kanak melalui persembahan boneka.
Beliau kini mengangkat satu lagi medium baharu iaitu ‘ucap dialog’, seiras dengan deklamasi sajak sebagai usaha memperluas ruang teater di negeri ini.
Rashidi pernah merangkul pelbagai anugerah termasuk Anugerah Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik dalam pertandingan teater sejak 1994.
Anugerah Seni Budaya Negeri Perak 2025 memberi pengiktirafan kepada 19 penerima termasuk anugerah media, bakat muda seni muzik dan anugerah pendukung seni budaya kepada badan bukan kerajaan mewakili kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli.
Setiap penerima membawa pulang hadiah wang tunai antara RM1,000 hingga RM5,000 berserta plak dan sijil yang disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ringkasan AI
- Rashidi dianugerahkan Tokoh Sepanjang Zaman dalam Anugerah Seni Budaya Negeri Perak 2025 kerana memartabatkan seni teater selama lebih empat dekad
- Beliau mengasaskan Akademi Teater Perak pada 2010 dan masih aktif mengajar teater untuk kanak-kanak dan dewasa walaupun sudah bersara dari perkhidmatan kerajaan
- Rashidi menyatakan teater berfungsi lebih dari sekadar lakonan, ia juga mempunyai nilai pendidikan yang membentuk sahsiah, keberanian dan disiplin
- Persepsi terhadap teater telah berubah sejak beliau mula terlibat pada 1984, kini lebih diterima sebagai medium pembelajaran dalam pendidikan
- Terlibat dalam pembaharuan teater dengan menganjurkan pertandingan teater secara maya semasa PKP dan memperkenalkan 'ucap dialog' sebagai medium baharu teater
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

