KKR cadang SOP binaan zon kuning di Segamat, Batu Pahat

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kerja Raya (KKR) menyarankan pembangunan baharu di Segamat dan Batu Pahat dibangunkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) khas sekiranya dua daerah itu dimasukkan ke dalam zon kuning Peta Bencana Seismik.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketika ini kedua-dua daerah berkenaan masih berada dalam zon hijau yang tidak mewajibkan pembinaan bangunan dengan ciri khas bagi berdepan risiko gegaran.

Jelas beliau, cadangan itu penting susulan beberapa siri gempa bumi lemah direkodkan sejak Ogos lalu di Segamat dan Batu Pahat, termasuk kejadian terbaharu dengan magnitud 3.5 di perairan Batu Pahat pada jam 9.04 pagi, Sabtu.

"Sebelum ini, Segamat dan Batu Pahat berada di kawasan hijau. Bererti segala bangunan tidak dikehendaki mengikuti SOP yang ada, antaranya tiang yang lebih besar dan besi dengan ukuran tertentu.

"Jadi selepas ini, apabila sudah masuk (zon kuning), bangunan baharu perlu ikut SOP. Bangunan sedia ada tidak akan dibuat apa-apa," katanya pada sidang media Projek Ideation Experience (PIE) 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, Sabtu.

Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil akibat gegaran selain 62 rumah dan dua surau turut terkesan di Segamat.

Gempa bumi lemah pada Sabtu merupakan kesembilan direkodkan di Johor, membabitkan Segamat dan Batu Pahat.

Gempa pertama berlaku di Segamat dengan kekuatan 4.1 dan 2.8 magnitud pada 24 Ogos, diikuti 3.2 magnitud (27 Ogos), 2.5 magnitud (28 Ogos) dan 3.4 magnitud (29 Ogos). Sementara itu, di Batu Pahat, gegaran berkekuatan 2.7 dan 2.9 magnitud dilaporkan pada 30 dan 31 Ogos, manakala 2.9 magnitud pada 3 September lalu.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kementerian kini memberi tumpuan kepada persiapan musim tengkujuh selain menilai semula kerosakan jalan persekutuan akibat banjir di Sabah baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan KKR memohon RM10.6 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2026, meningkat berbanding RM9.3 bilion pada tahun ini.

"Daripada 28 kementerian, KKR menerima peruntukan pembangunan tertinggi pada tahun ini.

"Kami berharap angka itu akan meningkat lagi dalam belanjawan akan datang, khususnya bagi menampung pembaikan jalan dan cerun di Sabah serta negeri-negeri lain,” katanya.

Ringkasan AI

  • KKR menyarankan pembangunan baru di Segamat dan Batu Pahat ikuti SOP khas jika masuk zon kuning Peta Bencana Seismik
  • Kedua-dua daerah masih dalam zon hijau tanpa keperluan bangunan khusus hadapi risiko gegaran
  • Cadangan SOP datang susulan siri gempa bumi lemah di kedua daerah sejak Ogos lalu
  • Sebanyak 15 bangunan kerajaan dan 62 rumah di Segamat terkesan akibat gegaran
  • KKR memohon RM10.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!