Batu Pahat, Segamat perlu dimasukkan dalam peta bencana

SEGAMAT – Jabatan Kerja Raya (JKR) menyarankan agar kawasan Batu Pahat dan Segamat dimasukkan dalam peta bencana atau hazard seismik yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, sejak September 2017 semua bangunan kerajaan dan jambatan telah mengambil kira faktor seismik dalam reka bentuk berpandukan peta hazard yang digunakan ketika ini.
“Namun berdasarkan semakan terkini, Segamat tidak termasuk dalam peta hazard tersebut. Batu Pahat juga antara kawasan yang wajar diberikan perhatian kerana turut terkesan dengan gegaran.

“Oleh itu, JKR mengesyorkan supaya MetMalaysia dan JMG mengemas kini hazard map agar kedua-dua daerah ini dimasukkan dalam senarai. Ini penting kerana apabila kawasan berada dalam peta bencana, reka bentuk bangunan di situ mesti mematuhi piawaian MSEN 1998 National Annex termasuk penggunaan konkrit gred tinggi serta perincian keluli lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Taklimat Bencana Gempa Bumi dan Lawatan Kesan Gegaran di Pejabat JKR Segamat pada Isnin.
Turut hadir, Jurutera Daerah Segamat, Ir Muhamad Yusri Zainal.
Ahmad menegaskan, JKR sentiasa komited bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk hospital, kolej komuniti serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan awam ketika berlaku bencana alam seperti banjir mahupun gegaran.
Katanya lagi, Johor pernah mengalami kejadian gegaran pada tahun 1922 dan insiden terkini di Segamat membuktikan perlunya peta hazard seismik dikaji semula agar lebih tepat serta menyeluruh.
Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada jam 6.13 pagi, 24 Ogos lalu dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, Rabu (3.2); 7.56 malam, Khamis (2.5); 4.24 pagi, Jumaat (3.4) dan 7.29 pagi, Sabtu (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang dengan magnitud 2.8.
Sementara itu, gegaran terbaharu bermagnitud 3.0 berlaku di Semerah, Batu Pahat pada jam 1.57 petang, 31 Ogos lalu menurut mesej pemberitahuan dalam Google.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

