Gempa bumi: JBPM Johor siap siaga hadapi sebarang kemungkinan

Sebagai persediaan, sebanyak 15 bot diserahkan kepada pasukan Bomba Komuniti di kawasan ‘hotspot’ banjir.
Sebagai persediaan, sebanyak 15 bot diserahkan kepada pasukan Bomba Komuniti di kawasan ‘hotspot’ banjir.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berikutan beberapa siri gegaran gempa bumi lemah yang melanda Segamat sejak 24 Ogos lalu.

Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir berkata, pemantauan aktiviti gempa dilakukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta pakar geologi, namun pihaknya telah menyiapkan anggota dan peralatan termasuk unit elit Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (STORM).

“Peranan bomba adalah pasukan penyelamat sekiranya berlaku kejadian gempa bumi. Pada ketika ini persiapan kita lebih kepada peralatan.

"Kita ingin pastikan supaya peralatan yang akan digunakan untuk tujuan kerja menyelamat dan bantuan berada serta berfungsi dalam keadaan baik.

"Kita sudah bersiap sedia, pegawai seluruh negara bagi pasukan elit JBPM, STORM sekiranya berlaku kejadian gempa bumi. Pasukan ini telah bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Johor di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya pada Khamis.

Menurut beliau, skop tugasan bomba tidak berubah meskipun berdepan senario kecemasan baharu seperti gempa bumi.

“Penyelamatan di darat, air, atau runtuhan bangunan masih menjadi skop kerja utama, cuma kali ini persiapan kita turut memberi fokus kepada kemungkinan operasi berkaitan gempa bumi,” katanya.

Untuk rekod, gempa bumi bermagnitud 4.1 melanda Segamat pada 24 Ogos lalu, disusuli tujuh gegaran susulan antara 27 Ogos hingga 3 September dengan kekuatan antara 2.5 hingga 3.4 magnitud.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai peralihan Monsun Timur Laut (MTL), Siti Rohani berkata,  JBPM Johor juga telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan banjir.

“Sebagai persediaan, sebanyak 15 bot diserahkan kepada pasukan Bomba Komuniti di kawasan ‘hotspot’ banjir selain penambahan aset baharu termasuk dua kenderaan utiliti, sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan khemah asap (smoke tent),” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa, supaya sentiasa peka terhadap ramalan cuaca di kawasan kediaman dan lokasi percutian sempena cuti sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!