Misi flotilla ke Gaza tetap diteruskan, semua delegasi Malaysia sihat - Sumud Nusantara

Beberapa kapal yang mengalami kerosakan teknikal sedang giat dibaik pulih bagi memastikan kelancaran misi.
Beberapa kapal yang mengalami kerosakan teknikal sedang giat dibaik pulih bagi memastikan kelancaran misi.
A
A
A

SHAH ALAM - Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza tetap diteruskan meskipun berdepan cabaran teknikal dan serangan propaganda pihak tertentu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, semua delegasi Malaysia yang menyertai GSF kini berada dalam keadaan sihat dan selamat.

"Sekretariat menegaskan bahawa misi flotilla tetap diteruskan ke Gaza.

"Kami juga menggesa semua penyokong, media, keluarga peserta dan masyarakat agar terus menjadi penguat semangat tanpa terpengaruh dengan cubaan halus yang mahu melemahkan barisan solidariti antarabangsa ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menerusi kenyataan rasmi tersebut Sani Araby memaklumkan kapal flotilla kini berada di perairan Greece dan belum memasuki zon kuning.

Kenyataan rasmi dikeluarkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) pada Sabtu.
Kenyataan rasmi dikeluarkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) pada Sabtu.

Menurutnya, tiada laporan aktiviti dron direkodkan semalam, manakala insiden terakhir yang direkodkan adalah serangan bom bunyi oleh 15 dron pada 22 September lalu.

"Susulan insiden ini, Kerajaan Itali dan Sepanyol telah menghantar dua kapal tentera bagi membantu kawalan keselamatan. Kapal-kapal ini telah tiba dan dilaporkan dilihat oleh delegasi Malaysia di perairan Mediterranean.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, pengawal pantai Greece juga sedang mengawal kawasan perairan di mana flotilla berada," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa kapal yang mengalami kerosakan teknikal sedang giat dibaik pulih bagi memastikan kelancaran misi.

Sehubungan itu katanya, penstrukturan semula kedudukan peserta di bot dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran misi.

Kenyataan rasmi dikeluarkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) pada Sabtu.
Kenyataan rasmi dikeluarkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) pada Sabtu.

"Sehingga kini, tiada bot yang menarik diri daripada misi. Terdapat beberapa kapten dan krew kapal yang menarik diri namun perkara ini telah dijangka.

"Sekretariat Flotilla telah menggantikan kapten dan krew yang terlatih," katanya.

Tambah beliau, ketika ini pelbagai naratif propaganda dimainkan bagi menimbulkan ketakutan yang bertujuan melemahkan semangat delegasi secara langsung mahupun tidak langsung.

Justeru, SNCC menegaskan agar semua pihak merujuk pusat tersebut sebagai sumber sahih.

"Sebarang maklumat yang tidak sahih hanya memenangkan propaganda Zionis dan akan membina naratif salah," tegasnya.

Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara diterajui Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Ringkasan AI

  • SNCC mengesahkan misi GSF ke Gaza tetap diteruskan meskipun berdepan cabaran teknikal dan serangan propaganda
  • Ketua Pengarahnya berkata semua delegasi Malaysia yang menyertai GSF kini berada dalam keadaan sihat dan selamat
  • Kapal flotilla berada di perairan Greece dan belum memasuki zon kuning
  • Kerajaan Itali dan Sepanyol telah menghantar dua kapal tentera untuk membantu kawalan keselamatan di perairan Mediterranean
  • Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara diterajui oleh Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!