Tiada kapal Global Sumud Flotilla tarik diri - Nadir Al- Nuri

Tiada kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menarik diri sebagaimana didakwa sebelum ini. Foto Agensi
Tiada kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menarik diri sebagaimana didakwa sebelum ini. Foto Agensi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menegaskan tiada kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menarik diri sebagaimana didakwa sebelum ini.

Muhammad Nadir Al-Nuri yang juga mengetuai panji Sumud Nusantara berkata, cuma ada yang tidak dapat belayar kerana rosak disabotaj.

"Indonesia pula tarik diri untuk beri ruang kepada delegasi lain sejak di Tunisia lagi," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, beberapa buah bot yang menyertai misi GSF terpaksa menarik diri dalam pelayaran ke perairan Gaza semalam, sekali gus menyebabkan rombakan besar perlu dilakukan sebelum misi dapat diteruskan.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam misi berkenaan berkata, setakat pukul 12 tengah hari (waktu di Laut Mediterranean), flotila itu sudah tiba di selatan perairan Greece, melibatkan hampir 30 bot.

Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Muhammad Nadir Al-Nuri.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF itu kini berada di perairan antarabangsa berhampiran dengan Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum tiba di perairan Gaza hujung bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menafikan kapal dalam misi Global Sumud Flotilla menarik diri
  • Kapal yang tidak dapat berlayar disebabkan rosak akibat disabotaj
  • Indonesia menarik diri dari misi untuk memberi ruang kepada delegasi lain
  • Misi Global Sumud Flotilla melibatkan hampir 30 bot berlayar ke perairan Gaza membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan
  • Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi tersebut di bawah panji Sumud Nusantara dan kini berada di perairan antarabangsa berhampiran dengan Greece

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!