Global Sumud Flotilla: Kebajikan, bantuan akan diberikan kepada keluarga peserta

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengambil tanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan bantuan sewajarnya diberikan kepada keluarga peserta yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, itu jaminan yang diberikan kepada wira-wira negara.
Menurutnya, ini kerana mereka bekerja keras memastikan bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh Sumud Flotilla ini berjaya sampai kepada rakyat Gaza.
"Saya sempat berhubung secara maya dengan wira-wira peserta Sumud Flotilla yang kini berada di medan.
"Perjuangan untuk membantu dan mempertahan mereka adalah semangat juang yang wajib ada dalam hati setiap orang beriman.
"Ayuh teruskan sokongan kita! Semoga misi ini diberkati dan mencapai kejayaan, insyaALLAH," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Dalam hantaran sama, Mohd Na’im turut berkongsi gambar ketika kunjungannya ke Command Centre Sumud Nusantara di ibu pejabat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Beliau memberitahu, isu Palestin dan Gaza khususnya, sangat dekat di hatinya malah seluruh rakyat Malaysia.
"Saya kagum melihat semangat juang para sukarelawan yang bertungkus-lumus menguruskan misi ini," jelasnya.
Ringkasan AI
- Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama melalui Jakim akan memastikan kebajikan keluarga peserta misi Global Sumud Flotilla
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada wira negara
- Bantuan kemanusiaan Sumud Flotilla bertujuan sampai kepada rakyat Gaza
- Menteri berhubung secara maya dengan peserta Sumud Flotilla dan menggalakkan sokongan untuk misi tersebut
- Mohd Na'im berkongsi gambar kunjungannya ke Command Centre Sumud Nusantara dan menekankan kepentingan isu Palestin bagi rakyat Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

