Beberapa kapten, pembantu tarik diri, misi GSF ke Gaza perlu dirombak

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Beberapa kapten dan pembantu mereka yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza terpaksa menarik diri semalam, sekali gus menyebabkan rombakan besar perlu dilakukan sebelum pelayaran dapat diteruskan.
Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam misi berkenaan berkata, setakat jam 12 tengah hari (waktu di Laut Mediterranean), flotila itu sudah tiba di selatan perairan Greece, melibatkan hampir 30 bot.
"Kalau mengikut perancangan, kita sepatutnya jalan terus dan tidak berhenti di Greece, tetapi ada sebab tertentu semalam. Beberapa jumlah kapten dengan pembantunya menarik diri (daripada menyertai misi) menyebabkan rombakan perlu dibuat.
"Kita tidak tahu lagi jumlah sebenarnya dan sebab mereka menarik diri, jadi penganjur kena pindahkan semula penumpang memasuki bot lain atau kapten baharu termasuk bot yang saya naiki,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.
Beliau,sebuah bot keluarga turut dilaporkan rosak dan tidak dapat dibaiki, menyebabkan kumpulan itu setakat ini akan terus berada di lokasi terbabit sehingga keadaan membolehkan mereka meneruskan pelayaran
"Selagi tidak selesai, kita tidak bergerak, bot keluarga itu pun mungkin penghuninya kena dipindahkan sebab bot tidak boleh bergerak, kami tidak dapat kemas kini sama ada mereka telah ganti dengan bot lain,” katanya.
Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF itu kini berada di perairan antarabangsa berhampiran dengan Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum tiba di perairan Gaza hujung bulan ini. - Bernama
Ringkasan AI
- Kapten dan pembantu dalam Misi Global Sumud Flotilla ke Gaza menarik diri menyebabkan perlu dilakukan rombakan besar
- Flotila mencapai selatan perairan Greece dengan hampir 30 bot
- Sebab penarikan diri kapten dan pembantu masih tidak diketahui
- Bot keluarga rosak dan tidak dapat dibaiki, memaksa kumpulan berhenti sementara
- Rombongan dijangka tiba di perairan Gaza pada hujung bulan dengan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
