Larangan mutlak import e-waste berkuat kuasa hari ini - Azam Baki

PUTRAJAYA – Pengimportan sisa elektronik (e-waste) diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.
Perkara itu diumumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil keputusan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 2/2026 sebagai langkah memperketat kawalan kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mempengerusikan mesyuarat tersebut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan adalah diperlukan.
“E-waste tidak lagi dibenarkan masuk ke negara ini.
“Penguatkuasaan mesti dilaksanakan dengan tegas melibatkan semua agensi,” katanya pada Rabu.
Menurutnya, sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarahkan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk meletakkan e-waste di bawah kategori Larangan Mutlak.
Sebelum ini, e-waste disenaraikan di bawah kategori Larangan Bersyarat, di mana Ketua Pengarah JAS mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan pengecualian tertakluk kepada syarat tertentu.
Peruntukan tersebut termaktub dalam Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Mesyuarat turut memutuskan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste yang akan dipengerusikan oleh Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Jawatankuasa itu perlu melaporkan hasil mesyuarat kepada Pasukan Petugas Khas dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium selama tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik. Namun sebelum keputusan dimuktamadkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta SWCorp perlu mengemukakan data terperinci mengenai sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara untuk pertimbangan Perdana Menteri.
Ringkasan AI
- Pengimportan sisa elektronik diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak mengikut Perintah Kastam 2023
- Langkah ini sebagai upaya memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya dan melindungi alam sekitar
- Tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan diperlukan
- E-waste tidak lagi dibenarkan masuk ke negara ini dan Jabatan Alam Sekitar diarah mengemukakan permohonan untuk meletakkan e-waste di bawah Larangan Mutlak
- Penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste untuk memastikan pengurusan e-waste lebih sistematik dan berkesan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
