Global Sumud Flotilla: 'Bila lesu, kami baca balik janji ALLAH SWT' - PU Rahmat

PU Rahmat menegaskan, beliau bersama 33 lagi wakil Malaysia yang menyertai GSF tetap mengagahkan diri untuk meneruskan misi pelayaran ke Gaza.
PU Rahmat menegaskan, beliau bersama 33 lagi wakil Malaysia yang menyertai GSF tetap mengagahkan diri untuk meneruskan misi pelayaran ke Gaza.
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun terdapat laporan beberapa peserta Global Sumud Flotilla (GSF) dari negara lain menarik diri daripada menyertai pelayaran ke Gaza, semangat yang ditunjukkan oleh wakil Malaysia tetap utuh.

Pendakwah muda, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat berkongsi luahan hati bahawa mereka kini tetap menggagahkan diri untuk meneruskan misi memecah kepungan Israel demi menghantar bantuan terus kepada rakyat Palestin.

Menurutnya, meskipun terdapat peserta Malaysia berdepan cabaran kewangan, ia tidak mematahkan semangat untuk memastikan fasa penting misi tersebut terlaksana.

"Kami nak balik sekarang ke? Boleh saja nak balik dan tidak salah pun... semua faham, tapi kami gagahkan diri lagi... dua pertiga perjalanan sudah dilalui.

"Setiap kali rasa lesu, bosan... kami baca semula janji ALLAH SWT... janji Baginda Nabi Sallallahu alaihi wasallam," tulisnya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Menurut Rahmat, perjalanan misi yang berdepan pelbagai cabaran sehingga menyebabkan kelewatan daripada jangkaan garis masa yang ditetapkan mengakibatkan kepenatan mental dan perlumbaan masa.

"Kapal flotilla telah diserang dua kali oleh dron ketika berada di Tunisia, mengakibatkan kerosakan yang memerlukan masa untuk dibaiki. Polis Tunisia turut membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

"Disebabkan pelabuhan Sidi Abou Said tidak lagi dianggap selamat, kapal-kapal terpaksa dipindahkan ke lokasi lain. Perjalanan mengambil masa sehari lagi menuju ke utara Tunisia, manakala urusan logistik untuk menghantar bekalan makanan dan peralatan ke sana juga berdepan masalah, ibarat berpindah dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Pulau Pinang.

"Keadaan bertambah sukar apabila cuaca buruk memaksa kapal-kapal berlindung di sekitar pulau Itali. Namun, ketika pelayaran disambung semula, flotilla sekali lagi diserang lebih daripada 10 dron. Akibatnya, kapal terpaksa dibawa ke Greece untuk dibaiki semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Namun, tegas beliau, sebagaimana yang disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, tiada kapal yang menarik diri, sebaliknya keputusan hanya melibatkan orang perseorangan.

"Pertama, tiada kapal tarik diri. Orang perseorangan tentulah ada yang tarik diri dengan pelbagai alasan.

"Wajib faham bahawa semua peserta ada komitmen masing-masing. Kadangkala majikan tidak memahami sebab kelewatan misi Sumud Flotilla berlaku," katanya.

Beliau memberi contoh salah seorang peserta yang juga seorang doktor bercuti tanpa gaji setengah bulan untuk menyertai GSF namun terpaksa menarik diri kerana sudah hampir sebulan belayar.

Bagaimanapun katanya, semua peserta Malaysia tetap bersemangat dan berharap dapat sampai ke Gaza dalam tempoh enam ke tujuh hari lagi.

"Tak sabar rasanya nak bancuhkan susu buat bayi yatim. Tuala wanita untuk wanita Gaza dan perubatan untuk semua rakyat Palestin," ujarnya.

Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Muhammad Nadir Al-Nuri.

Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF itu kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum tiba di perairan Gaza hujung bulan ini.

Ringkasan AI

  • Walaupun ada peserta dari negara lain menarik diri, wakil Malaysia tetap bersemangat untuk menyertai pelayaran ke Gaza
  • Rahmat Ikhsan (PU Rahmat) dan peserta Malaysia lain menghadapi cabaran kewangan tetapi tidak berputus asa
  • Kapal flotilla diserang dua kali oleh dron di Tunisia dan terpaksa dibaiki menyebabkan kelewatan
  • Semua peserta Malaysia berkomitmen untuk sampai ke Gaza walaupun terpaksa berdepan dengan cuaca buruk dan serangan dron tambahan
  • Pelayaran GSF yang membawa bantuan berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka sampai di Gaza hujung bulan ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!