BUDI95 berjalan lancar, tiada aduan diterima - Hui Ying

GEORGE TOWN – Kerajaan berpuas hati dengan kelancaran pelaksanaan Program BUDI95: Pengisian Minyak Bersubsidi RON95 bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bermula hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan berhubung masalah sistem mahupun isu di stesen minyak di seluruh negara.
“Setakat ini, proses pengisian minyak berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Tiada sistem tergendala, tiada aduan diterima daripada mana-mana pihak. Hari ini pelaksanaan melibatkan anggota polis dan tentera, dan semuanya baik sekali,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Program BUDI95 di Stesen Shell Jalan Masjid Negeri di sini pada Sabtu.

Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, BUDI95 diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif penyasaran subsidi RON95 bagi memastikan bantuan benar-benar dinikmati rakyat Malaysia.
Jelasnya, melalui BUDI95 setiap warganegara dengan lesen memandu aktif layak menerima kuota sehingga 300 liter sebulan dengan harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran RM2.60 seliter.
Beliau berkata, selain mengurangkan kos sara hidup rakyat, pelaksanaan BUDI95 dapat mengekang ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi, sekali gus membolehkan penjimatan subsidi disalurkan kepada program kesejahteraan lain seperti kesihatan, pendidikan dan bantuan tunai.
“Setakat ini, seramai 300,000 anggota polis dan tentera terlibat dalam fasa awal sebelum program itu dilaksanakan sepenuhnya kepada 16.4 juta warganegara pada 30 September ini.
“Kerajaan menjangkakan penjimatan subsidi antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui program ini, bergantung kepada harga minyak mentah dunia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu tergesa-gesa mengisi minyak apabila program ini mula dilaksanakan secara rasmi pada 30 September, kerana harga RON95 bersubsidi akan kekal pada RM1.99 seliter.
Beliau berkata, selain menggunakan MyKad sebagai pengesahan, pembayaran juga boleh dilakukan melalui e-dompet TnG serta aplikasi rasmi syarikat minyak seperti Setel (Petronas), CaltexGo dan Shell App.
“Kerajaan akan terus memantau dengan teliti pelaksanaan ini dan bertindak secara proaktif sekiranya timbul sebarang isu,” katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan berpuas hati dengan kelancaran pelaksanaan Program BUDI95 bagi anggota polis dan tentera
- Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, mengatakan proses pengisian minyak berjalan lancar tanpa sebarang masalah
- BUDI95 diperkenalkan untuk memastikan bantuan subsidi RON95 dinikmati rakyat Malaysia
- Setiap warganegara dengan lesen memandu aktif layak menerima kuota 300 liter sebulan dengan harga subsidi
- Program BUDI95 dijangka menjimatkan subsidi antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
