Global Sumud Flotilla: Kerajaan rangka langkah siap siaga jika delegasi diserang - Zahid

SEPANG - Malaysia telah merangka langkah kesiapsiagaan bagi memastikan keselamatan 34 rakyat negara ini yang menyertai misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan mendapat bantuan daripada negara berhampiran sekiranya berlaku serangan rejim Israel terhadap delegasi.
“Kita akan meminta pertolongan daripada negara-negara yang berhampiran dan menjadi sahabat kita selama ini untuk membantu.
"Ia bukan sahaja melibatkan 34 rakyat Malaysia tetapi juga lebih 500 ahli rombongan,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat Pusat Operasi Sumud Nusantara Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kerajaan telah berhubung dengan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan yang kini berada di New York menghadiri Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2025) bagi memaklumkan situasi semasa misi berkenaan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, Ahmad Zahid turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan untuk melihat bentuk bantuan yang boleh disediakan sekiranya misi berdepan sebarang ancaman.
Katanya, pemantauan akan dilakukan secara berterusan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah MAPIM dengan kerjasama media arus perdana dan media sosial bagi memastikan maklumat terkini dapat disalurkan.
“Kita berharap semua pihak memberikan liputan yang baik kepada mereka kerana 34 individu ini merupakan wira dan wirawati yang harus mendapat sokongan seluruh rakyat,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama dengan peserta Global Sumud Nusantara melalui tele sidang.
Beliau menzahirkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama mahupun pegangan politik berdiri teguh memberikan sokongan moral terhadap usaha bersejarah itu meskipun para peserta berdepan pelbagai ancaman termasuk serangan dron dan ugutan daripada pihak Israel.
“Syabas kepada seluruh 34 individu yang mempunyai keberanian luar biasa untuk menghantar bantuan ke Gaza.
"Mereka berlayar terlalu jauh, menghadapi beberapa ancaman termasuk dibom melalui dron, namun tetap tidak gentar.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar misi ini berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, misi berkenaan kini sudah menghampiri zon kuning sebelum bergerak ke zon merah yang lebih berisiko, justeru sokongan antarabangsa amat diperlukan.
Katanya, penyertaan 45 negara dalam flotila itu membuktikan solidariti global terhadap Palestin semakin meningkat, apatah lagi beberapa negara Barat termasuk United Kingdom buat pertama kali mengiktiraf kewujudan negara Palestin selepas lebih 75 tahun menjadi penyokong kuat penubuhan Israel.
“Perubahan pendirian ini adalah sesuatu yang luar biasa malah ia memberi isyarat bahawa masyarakat antarabangsa semakin menyedari keperluan memberi keadilan kepada rakyat Palestin yang telah lama ditindas,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan merangka langkah kesiapsiagaan untuk keselamatan 34 rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla
- Malaysia akan mendapat bantuan dari negara berhampiran jika ada serangan Israel
- Pertolongan juga untuk lebih 500 ahli rombongan selain dari 34 rakyat Malaysia
- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan komitmen ini dalam sidang akhbar
- Sidang akhbar berlangsung di Pusat Operasi Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

