Polis gempur pusat penipuan dalam talian, tahan 141 individu di utara

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menahan 141 individu termasuk sembilan warga tempatan dalam 14 serbuan di pusat panggilan disyaki menjalankan pelbagai kegiatan penipuan dalam talian dari 9 hingga 29 Oktober.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, risikan dan intipan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri membawa kepada lima serbuan di daerah Timur Laut, Barat Daya (enam) dan Seberang Perai Tengah (tiga).
"Polis menahan 93 warga China, Vietnam (29), Jepun (empat), Taiwan (tiga), Kemboja (dua) dan seorang warga Myanmar serta sembilan rakyat tempatan berusia 18 hingga 48 tahun.
"Mereka terdiri daripada sindiket berbeza dan dipercayai terlibat dalam penipuan pelaburan, love scam, penyamaran sebagai pegawai polis serta tawaran pekerjaan tidak wujud yang menggunakan pelbagai platform seperti WhatsApp, Telegram, WeChat, Instagram, Facebook dan TikTok,” katanya.
Dennis berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai menyewa rumah bagi menjalankan kegiatan tersebut dan menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalan operasi untuk memperdayakan mangsa yang majoritinya dari luar negara seperti China, Jepun, Amerika Syarikat, Brazil dan Hong Kong.
Dennis berkata, polis merampas pelbagai peralatan, iaitu telefon bimbit, komputer riba, tablet, penghala internet serta pelbagai peralatan elektronik dan aksesori komputer dipercayai untuk menjalankan kegiatan itu yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta.
Beliau berkata, polis turut menyiasat kemungkinan penyalahgunaan pas dan kemudahan imigresen lain walaupun kebanyakan warga asing yang ditahan memasuki Malaysia secara sah.
Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
