Itali hantar kapal tentera laut kedua iringi Flotilla ke Gaza

ROM – Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto mengumumkan bahawa sebuah lagi kapal perang negara itu, frigat Alpino, dihantar untuk menyertai misi menyelamat, bantuan dan perlindungan bagi flotilla menuju Gaza, lapor Euronews.
Keputusan tersebut dibuat susulan beberapa siri serangan ke atas konvoi berkenaan, termasuk laporan berhubung 'sekurang-kurangnya 13 letupan' pada Selasa, apabila dron atau pesawat dilaporkan menjatuhkan objek tidak dikenali ke atas beberapa kapal.
Pada Rabu, Itali mengecam serangan itu dan menghantar frigat pelbagai guna pertamanya bagi membantu operasi menyelamat sekiranya diperlukan.
“Dalam sebuah negara demokrasi, demonstrasi dan protes perlu dilindungi, selagi ia dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa dan tanpa keganasan,” kata Crosetto.
Crosetto turut menggesa konvoi Global Sumud Flotilla yang kini dalam pelayaran ke Gaza supaya memunggahkan bantuan kemanusiaan di Cyprus, bagi mengelak risiko melalui sekatan laut tentera Zionis Israel.
Berucap di Dewan Perwakilan pada Khamis, beliau menekankan risiko keselamatan yang dihadapi kapal-kapal di luar perairan antarabangsa.
“Saya mengesyorkan dan berharap semua pihak bersetuju dengan penyelesaian membawa bantuan ke Cyprus, dan melalui campur tangan Persidangan Uskup Itali (CEI) serta kerajaan Itali, barangan itu disalurkan ke Gaza. Dengan cara ini, bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa membawa sebarang akibat buruk.
“Keadaan amat membimbangkan dan kami tidak mampu menjamin keselamatan kapal di luar perairan antarabangsa. Justeru, saya sarankan agar menerima penyelesaian melalui Cyprus dengan pengurusan pihak Gereja," ujarnya.
Susulan pengumuman Itali, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez mengesahkan bahawa negaranya turut menghantar sebuah kapal peronda bagi melindungi dan membantu flotilla.
“Kerajaan Sepanyol menuntut agar undang-undang antarabangsa dihormati dan hak rakyat kami untuk belayar dengan selamat di Mediterranean dijamin,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Rejim Zionis Israel sekali lagi menegaskan tidak akan membenarkan flotilla tersebut sampai ke Gaza, dengan mendakwa tanpa sebarang bukti bahawa konvoi itu dianjurkan oleh Hamas.
Kementerian Luar Israel mencadangkan supaya bantuan dipunggahkan di pelabuhan Ashkelon dan kemudian dibawa masuk ke Gaza secara berkoordinasi. -Agensi
Ringkasan AI
- Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto mengumumkan frigat Alpino akan bergabung dalam misi menyelamat flotila menuju Gaza
- Itali mengecam serangan ke atas konvoi tersebut dan menghantar frigat pelbagai guna untuk membantu
- Crosetto menggesa konvoi agar memunggahkan bantuan kemanusiaan di Cyprus untuk mengelak risiko keselamatan
- Itali menganggap keadaan sangat membimbangkan dan tidak dapat menjamin keselamatan kapal di luar perairan antarabangsa
- Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, turut menghantar kapal peronda untuk melindungi flotilla tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

