Tuntut hutang telefon bimbit berbaki RM50 punca lelaki dibunuh

Kedua-dua suspek ketika menunjukkan lokasi kejadian lelaki dibunuh.
Kedua-dua suspek ketika menunjukkan lokasi kejadian lelaki dibunuh.
A
A
A

KENINGAU - Tuntutan bayaran ansuran telefon bimbit dipercayai menjadi punca pergaduhan sehingga membawa kepada pembunuhan seorang lelaki sebelum mayatnya ditemui ditanam di Kampung Kitung di sini pada Selasa lalu.

Susulan kejadian itu, dua lelaki warga Filipina masing-masing berusia 33 dan 37 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, penemuan mayat tersebut membawa kepada tangkapan dua suspek di lokasi berasingan pada Rabu dan Khamis.

"Tangkapan pertama dibuat pada jam 9 malam di Kampung Sayur, Jalan Durok. Suspek mengaku melakukan perbuatan itu secara berseorangan.

"Motif kejadian adalah pergaduhan antara suspek dengan mangsa kerana suspek berhutang dengan mangsa, iaitu membeli telefon bimbit secara ansuran bulanan dengan baki hutang RM50.

"Suspek gagal membuat bayaran selama empat bulan berturut-turut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, tangkapan kedua pula dibuat di Kampung Kilang Bata, Jalan Keningau-Tenom pada jam 11.30 pagi Khamis.

"Suspek kedua mengaku didatangi suspek pertama pada Ahad lalu dengan menaiki motosikal.

"Suspek pertama datang ke rumah suspek kedua sekitar jam 6.30 petang dengan alasan meminta tolong mengalihkan peti sejuk di rumah kebun, iaitu lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik tiba di lokasi, suspek pertama memaklumkan bahawa dia telah membunuh mangsa pada Sabtu dan meminta bantuan untuk mengebumikan mayat.

"Suspek kedua tidak membantu mengorek lubang, tetapi hanya menyuluh menggunakan telefon bimbit serta membantu mengangkat dan memasukkan mayat ke dalam lubang sebelum menimbusnya semula," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat depan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui mati selepas jasadnya ditanam berhampiran rumah pekerja kebun getah di Kampung Kitung di sini pada petang Selasa.

Mangsa dikenali sebagai Abdul Hafiz, 30, ditemui kira-kira jam 6.25 petang selepas kerja mengorek timbunan tanah dilakukan susulan penemuan beberapa barangan tidak jauh dari lokasi tersebut.

 

Ringkasan AI

  • Tuntutan bayaran ansuran telefon bimbit menjadi punca pembunuhan seorang warga lelaki
  • Dua lelaki warga Filipina berusia 33 dan 37 tahun ditahan berkaitan kes pembunuhan
  • Mayat mangsa ditemui ditanam di Kampung Kitung, Keningau
  • Motif pembunuhan adalah hutang pembelian telefon bimbit dengan baki hutang RM50
  • Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!