Rogol statutori: Selangor tegas lindungi mangsa bawah 18 tahun

Sekiranya terdapat cadangan untuk meminda undang-undang, ia perlu diteliti secara menyeluruh termasuk mengambil kira faktor sosial dan ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat.

Anfaal (dua dari kiri) bersama orang ramai pada Majlis Perasmian Pembukaan Mydin Mart Olak Lempit pada Jumaat.
Anfaal (dua dari kiri) bersama orang ramai pada Majlis Perasmian Pembukaan Mydin Mart Olak Lempit pada Jumaat.
A
A
A

BANTING – Kerajaan Selangor menegaskan bahawa wanita, khususnya remaja bawah umur tidak wajar dipersalahkan dalam kes rogol statutori walaupun ia berlaku atas dasar suka sama suka.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, undang-undang jelas menyatakan bahawa rogol statutori terpakai terhadap kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

“Walaupun ia dikatakan hubungan suka sama suka antara lelaki dan perempuan, dari segi undang-undang adalah salah untuk meletakkan kesalahan kepada kanak-kanak perempuan berusia bawah 18 tahun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Mydin Mart Olak Lempit di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, yang mahu tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap perempuan terbabit dalam hubungan seks suka sama suka.

Mengulas lanjut, Anfaal menjelaskan bahawa perkara lebih penting adalah meneliti punca bagaimana pemangsa boleh melakukan tindakan tersebut.

“Kita perlu melihat faktor keselamatan, kasih sayang keluarga dan hubungan dalam keluarga.

“Jika hanya menuding jari dan menyalahkan, masalah ini tidak akan selesai kerana kita tidak menilai akar punca sebenar,” katanya.

Anfaal berkata, sekiranya terdapat cadangan untuk meminda undang-undang, ia perlu diteliti secara menyeluruh termasuk mengambil kira faktor sosial dan ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat.

“Kita bukan hanya mahu melihat siapa pelaku, lelaki atau perempuan tetapi mengapa perkara itu boleh berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Faktor ekonomi, tahap pendidikan agama dan masalah sosial lain juga perlu diberi perhatian.

“Jika perlu, pindaan undang-undang itu harus dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibincangkan secara menyeluruh,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Selangor tegaskan wanita tidak harus dipersalahkan dalam kes rogol statutori meskipun berlaku suka sama suka
  • Undang-undang menetapkan rogol statutori terpakai untuk bawah umur 18 tahun
  • Perlu menilai punca sebenar tindakan rogol oleh pemangsa termasuk faktor keselamatan dan hubungan keluarga
  • Cadangan meminda undang-undang perlu diteliti secara menyeluruh termasuk faktor sosial
  • Faktor ekonomi, pendidikan agama, dan masalah sosial lain juga harus diberi perhatian dalam pembahasan pindaan undang-undang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!