Apabila kanak-kanak sudah kenal dadah, di mana silapnya?

ZAMAN dahulu, kanak-kanak riang bermain sorok-sorok, galah panjang atau polis sentri sebagai aktiviti hiburan harian mereka.
Pergaulan awam lebih terbatas, teknologi komunikasi kurang canggih dan interaksi luar rumah sering terikat kepada ruang yang dapat dikawal ibu bapa atau guru.
Amat sedikit peluang kepada pendedahan awal terhadap unsur dadah, masalah seksual atau pengaruh luar yang cepat merebak melalui media sosial atau rangkaian dalam talian.
Siapa sangka, di saat kita sibuk meniti kemajuan negara, muncul pula laporan mengejutkan bahawa isu penagihan dadah kini bermula seawal sekolah rendah dengan sebahagiannya mula terjebak pada usia 10 tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan bahawa antara punca ketagihan dalam kalangan bawah umur ialah taktik pengedar yang memberikan gula-gula mengandungi dadah secara percuma.
Selain itu, terdapat kes hubungan suka sama suka antara remaja dengan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di sebuah negeri di Semenanjung Malaysia berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Situasi ini amat membimbangkan kerana ia menandakan zaman kecil yang sepatutnya penuh keceriaan, kini semakin dipenuhi risiko sosial.
Di mana silapnya, hingga pengaruh dadah dan hubungan seksual menular dalam kalangan kanak-kanak serta remaja bawah umur ibarat racun yang merebak secara senyap tetapi pantas?
Ada yang menyalahkan teknologi, ada yang menuding kepada keluarga, namun realitinya gabungan pelbagai faktor menjadi punca bermula daripada telefon pintar tanpa kawalan, pengaruh rakan sebaya, kurang perhatian ibu bapa serta kelemahan pendidikan awal tentang bahaya dadah dan seks bebas.
Apabila semua faktor itu bercampur, maka lahirlah generasi yang cepat hilang arah.
Jika anak-anak pada zaman dahulu mungkin dimarahi kerana pulang lewat selepas bermain, itu sahaja masalah besar mereka.
Kini, anak-anak boleh terjebak dalam dunia maya yang tiada sempadan, bersembang dengan orang asing, menonton kandungan seksual, malah dihubungi pengedar dadah hanya dengan satu klik.
Bezanya terlalu ketara, seolah-olah mereka hidup di planet berbeza berbanding zaman ibu bapa.
Justeru, kita tidak boleh terus berpeluk tubuh melihat kanak-kanak masa kini tergelincir ke jurang gelap.
Zaman berubah dan cabarannya lebih getir, tetapi itu bukan alasan untuk menyerah. Masyarakat, ibu bapa, sekolah dan kerajaan mesti berganding bahu.
Jika tidak, kita akan terus kehilangan generasi daripada anak yang sepatutnya ketawa bermain sorok-sorok, kini menangis dalam jerat dadah dan seks bebas.
Ringkasan AI
- Zaman dahulu, kanak-kanak riang bermain sorok-sorok dan galah panjang sebagai aktiviti hiburan
- Pergaulan lebih terbatas dan teknologi komunikasi kurang canggih
- Penagihan dadah kini bermula seawal usia 10 tahun di kalangan kanak-kanak sekolah rendah
- Taktik pengedar yang memberikan gula-gula mengandungi dadah secara percuma sebagai punca ketagihan
- Realiti gabungan faktor seperti telefon pintar tanpa kawalan, pengaruh rakan sebaya, dan kurang perhatian ibu bapa memajukan masalah sosial dalam kalangan muda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

