Madani: Manhaj Anwar Ibrahim

Malaysia Madani bukan sekadar slogan politik tetapi sebuah manhaj yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Malaysia Madani bukan sekadar slogan politik tetapi sebuah manhaj yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

“BANGSA yang besar ialah bangsa yang menjaga budi dan maruah rakyatnya.”

Ungkapan ini adalah amanat sejarah, mengingatkan kita bahawa kekuatan bangsa tidak sekadar diukur melalui megahnya bangunan atau derasnya angka pertumbuhan ekonomi, tetapi lebih halus melalui adab, nilai, serta kesejahteraan rakyat jelata.

Di sinilah lahirnya gagasan Malaysia Madani bukan sekadar slogan politik, tetapi sebuah manhaj yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Madani mencerminkan visi panjang perjuangannya, yang sejak puluhan tahun lalu konsisten menegaskan bahawa pembangunan negara harus berteraskan akhlak, keadilan, dan martabat insan.

Manhaj Anwar Ibrahim

Bagi Anwar Ibrahim, Madani bukanlah retorik. Ia adalah metodologi pentadbiran, satu disiplin fikir dan amal. Enam prinsip terasnya iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan bukan sekadar teori, tetapi asas kepada setiap dasar kerajaan pimpinannya.

Ia suatu pendekatan baharu yang tidak hanya menekankan materialisme atau angka pertumbuhan semata-mata, Madani meletakkan keseimbangan. Ia menuntut pertumbuhan ekonomi yang berakar pada keadilan sosial, pembangunan moden yang tetap menghargai kearifan tempatan, serta kemajuan teknologi yang tidak mengorbankan nilai kemanusiaan.

Perspektif budiman dalam alam Melayu

Untuk memahami Madani dengan jiwa, kita perlu menilik ke dalam falsafah Alam Melayu yang menjunjung konsep budiman. Seperti insan budiman, manhaj Anwar Ibrahim melalui Madani menekankan adab sebagai asas kepemimpinan: berani tetapi insaf, maju tetapi tidak culas pada moral, berkuasa tetapi tunduk kepada nilai kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Konsep budi pekerti, akal budi, hati budi, dan budi bicara yang sudah sekian lama membentuk identiti bangsa ini kini diterjemah dalam kerangka negara.

Dari sejarah ke pasca-normal

Sejak 1957, pembangunan Malaysia menempuh pelbagai fasa: daripada pembinaan negara bangsa merdeka, ke dasar DEB pada 1970-an yang membasmi kemiskinan, ke era globalisasi 1990-an yang membuka peluang dan ketidaksamarataan, hinggalah cabaran pasca-normal hari ini - krisis iklim, teknologi disruptif, dan tekanan ekonomi global yang menuntut pendekatan baharu.

Anwar hadir bersama Madani sebagai jawapan kepada era pasca-normal ini. Ia menekankan bahawa pembangunan negara harus bersandar pada akhlak dan kemanusiaan. Dengan itu, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur tidak lagi menjadi ukuran tunggal; yang lebih utama ialah pembangunan jiwa serta peradaban bangsa.

Dasar dengan jiwa

Manhaj Anwar diterjemah dalam bentuk nyata. Lihat sahaja BUDI95, harga petrol turun ke RM1.99 seliter. Tambah pula dengan STR yang terus menyokong isi rumah, SARA yang meringankan kos dapur.

Tidak berhenti di situ, kerajaan Madani membuka ruang melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk kerja dan niaga, sambil melengkapkan perlindungan sosial serta meluaskan akses kepada perumahan mampu milik.

Inisiatif ini membuktikan bahawa Madani bukan retorik, tetapi praktikal dan berjiwa rakyat. Ia adalah keseimbangan antara keadilan sosial dengan tanggungjawab kewangan negara, sebuah cerminan jelas bahawa nilai budi masih menjadi asas dalam pentadbiran yang lahir daripada jiwa seorang pemimpin yang menjiwai penderitaan rakyat.

Patriotisme dalam semangat Madani

Patriotisme Madani lebih luas daripada sekadar mengibarkan Jalur Gemilang. Ia menuntut tekad bersama membina bangsa yang bermaruah, menolak budaya perpecahan, menegakkan integriti, serta berpegang pada nilai ilmu dan adab.

Cinta kepada tanah air dalam kerangka Madani lahir melalui kerja tekun, penolakan rasuah, pemeliharaan alam sekitar, dan kesediaan membantu sesama rakyat. Setiap amal kecil, apabila dikumpulkan, adalah manifestasi cinta yang lebih tulus daripada laungan kosong.

Madani adalah naratif tentang negara bangsa yang adil, beradab, dan bermaruah. Ia melampaui sekadar gagasan politik, malah lebih besar daripada refleksi agama, ia sebuah kerangka universal yang berpaksikan budi serta kearifan tempatan.

Apabila Malaysia berpegang pada prinsip Madani dan akar budinya sendiri, kita akan melangkah sebagai sebuah negara budiman maju dalam ekonomi, unggul dalam nilai, dan dihormati di dunia. Inilah makna sebenar sebuah kemerdekaan, dan inilah erti sebuah Malaysia Madani.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!