Masjid al-Istiqamah terima bungkusan mencurigakan, disyaki daging babi

Shanmugam. Foto Mediacorp Singapura
Shanmugam. Foto Mediacorp Singapura
A
A
A

SINGAPURA - Jemaah Masjid al-Istiqamah di Serangoon North Avenue 2 gempar apabila menerima satu bungkusan berisi daging yang mencurigakan.

Memetik laporan berita rasmi Singapura, Mediacorp, kejadian berlaku selepas solat Asar pada Rabu dan jemaah diarahkan keluar serta mengosongkan masjid berkenaan.

Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam berkata, paket mencurigakan yang dihantar ke Masjid al-Istiqamah dipercayai berisi daging babi, namun pemeriksaan masih dijalankan untuk mengesahkan jenis daging tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, perbuatan menghantarnya ke rumah ibadat dengan cara tersebut jelas bersifat provokatif.

"Sekilas pandang ia seperti daging babi dan jika ini benar dan dihantar ke masjid, anda boleh lihat implikasinya lebih teruk lagi.

"Apa pun motifnya, ini adalah perbuatan yang bermain dengan api.

“Kes serupa ini bukan kali pertama atau terpencil dan terdapat kejadian seperti ini di masjid-masjid lain yang kini dalam siasatan polis,” katanya pada Khamis.

Pada lewat petang Rabu, Pasukan Polis Singapura (SPF) dimaklumkan mengenai kejadian bungkusan yang dihantar ke masjid dan bekerjasama dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk mengosongkan premis tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

Pakar bahan berbahaya (HazMat) menjalankan pemeriksaan dengan alat pengesan, namun tidak menemui sebarang bahan berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, seorang wanita mengalami sesak nafas selepas menyentuh bungkusan tersebut dan dibawa ke Hospital Besar Sengkang untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, wanita tersebut kemudiannya sudah dibenarkan pulang dari hospital.

Jelas Shanmugam, polis dan SCDF segera bertindak balas, HazMat kemudiannya mengesahkan tiada bahan berbahaya ditemukan.

“Siasatan sedang dijalankan dan sesiapa yang bertanggungjawab akan diambil tindakan tegas.

“Perbuatan menyasarkan rumah ibadat tidak boleh diterima sama sekali dan Singapura mempunyai toleransi sifar terhadap tindakan sedemikian,” ujarnya.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memberitahu, solat harian telah disambung semula di Masjid al-Istiqamah.

Untuk rekod, pada April 2024, seorang lelaki berusia 30 tahun dijatuhkan hukuman penjara 12 minggu kerana mencuri dua tin daging babi dari pasar raya dan meletakkannya pada rak di pintu masuk Masjid al-Ansar di Bedok North.

Ringkasan AI

  • Jemaah Masjid al-Istiqamah di Serangoon North Avenue 2 terkejut menerima bungkusan mencurigakan berisi daging
  • Bungkusan dicurigai berisi daging babi, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata pemeriksaan sedang dijalankan
  • Perbuatan menghantar bungkusan ke rumah ibadat dianggap provokatif dan sedang dalam siasatan polis
  • Seorang wanita mengalami sesak nafas selepas menyentuh bungkusan dan dibawa ke hospital, kemudian telah dibenarkan pulang
  • Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan solat harian di Masjid al-Istiqamah telah disambung semula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!