Malaysia menerajui dunia, membentuk masa depan keselamatan sosial

Dunia sedang memasuki era transisi yang penuh ketidakpastian. Revolusi digital, peralihan hijau dan penuaan populasi telah mengubah wajah pekerjaan. Bentuk pekerjaan tradisional semakin bercampur dengan ekonomi gig, automasi dan model baharu yang lebih fleksibel.
Dalam situasi kompleks ini, timbul persoalan besar, apakah masa depan keselamatan sosial apabila pekerjaan itu sendiri sedang berubah?
Malaysia melangkah berani
Malaysia memilih untuk tidak menunggu, ketika banyak negara masih bergelut mencari formula baharu, kita tampil menjadi antara yang terawal di dunia menggubal undang-undang khusus bagi melindungi pekerja gig.
Pekerja gig bukan sekadar statistik. Mereka adalah anak muda yang menjadikan platform digital sebagai ruang rezeki, ibu bapa tunggal yang bekerja siang malam untuk membesarkan anak dan juga graduan baharu yang menjadikan ekonomi gig sebagai pintu masuk ke dunia pekerjaan.
Mereka bekerja keras selama ini tanpa kepastian, tanpa keadilan dan tanpa sebarang perlindungan keselamatan.
Undang-undang baharu ini mengubah keadaan itu. Ia memastikan selama mana mereka mempunyai kontrak atau hubungan kerja dengan entiti perkhidmatan, mereka berhak kepada perlindungan yang adil.

Buat pertama kali, pekerja gig di Malaysia diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada ekosistem tenaga kerja negara, bukan lagi di pinggiran.
Ini bukan reformasi kecil, ia adalah langkah berani yang membuktikan Malaysia sanggup mendahului dunia dalam mencari jawapan kepada cabaran sistem pekerjaan yang sedang berubah dengan pantas.
Ia adalah tanda bahawa Malaysia tidak sekadar mengikut arus global tetapi menjadi peneraju dalam membina model perlindungan sosial baharu.
Dari Kuala Lumpur untuk dunia
Langkah berani ini diikuti dengan acara penuh bersejarah. Bermula 29 September hingga 3 Oktober ini, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bakal menjadi medan perbincangan global apabila lebih 1,500 delegasi daripada 300 organisasi keselamatan sosial berhimpun untuk World Social Security Forum (WSSF).
Forum lima hari itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa tema ‘Shaping Social Security for a World in Transition’, satu tema yang amat relevan dengan pengalaman kita di Malaysia.
Kehadiran para menteri, ketua pegawai eksekutif dan pakar teknikal dari Amerika Syarikat, China, Jerman, Sepanyol, Brazil, Iceland, Switzerland serta banyak lagi adalah bukti bahawa dunia kini melihat Malaysia sebagai pemimpin dalam perbahasan masa depan keselamatan sosial.
Kepimpinan bukanlah tentang siapa paling kaya atau paling maju. Kepimpinan adalah mengenai siapa yang berani membuat perubahan pada waktunya. Malaysia telah membuktikan bahawa sebuah negara membangun mampu menjadi peneraju global.
WSSF di Kuala Lumpur adalah simbol bahawa Malaysia tidak sekadar mengikuti transisi global tetapi tampil memimpin dan membentuk haluannya.
Jiwa Malaysia Madani
Inilah jiwa Malaysia Madani, sebuah kerangka dasar yang berakar pada kemanusiaan tetapi berpandangan jauh ke hadapan.
Melalui keberanian menggubal undang-undang pekerja gig hingga menjadi tuan rumah WSSF, Malaysia berdiri sebagai peneraju dunia.
Kita bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan tetapi bertekad membentuk masa depan keselamatan sosial yang lebih adil dan inklusif.
Dari Kuala Lumpur, gema itu disampaikan kepada dunia bahawa sebuah negara membangun juga mampu memimpin dengan visi yang jelas menjadikan transisi ini bukan sekadar cabaran tetapi peluang untuk membina sebuah dunia yang lebih adil, inklusif dan berperikemanusiaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
