Konvoi GSF berlayar perlahan di Greece, aktiviti dron tahap sederhana

SHAH ALAM – Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) kini berlayar perlahan di perairan Greece dengan aktiviti dron dilaporkan pada tahap sederhana pada awal pagi Khamis.
Sumber Kesatuan Eropah (EU) memaklumkan bahawa ancaman Israel semakin meningkat ketika konvoi tersebut menghampiri perairan antarabangsa.
Menerusi hantaran di Facebook Sumud Nusantara Official, pihaknya mendakwa Israel sejak minggu lalu cuba mencipta alasan untuk menyerang konvoi berkenaan dengan menuduh misi kemanusiaan itu mempunyai kaitan dengan Hamas.
"Ia adalah taktik lama yang digunakan untuk menghalalkan peningkatan keganasan terhadap orang awam di Gaza. Dalam masa yang sama, Israel turut melancarkan perang psikologi selain melepaskan peranti pembakar api ke arah kapal kami.
"EU digesa mengambil tindakan tegas berikutan ancaman terhadap kapal kemanusiaan yang sedang berlayar di perairan wilayah dan antarabangsa," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, serangan terhadap kapal-kapal berkenaan merupakan penggunaan kekerasan yang menyalahi undang-undang antarabangsa kerana ia membabitkan bendera rasmi negara lain termasuk beberapa anggota EU sendiri.
"Ancaman ini adalah lanjutan daripada kempen pemusnahan dan kebuluran yang terus menimpa rakyat Palestin di Gaza.
"EU dituntut untuk melindungi warganya daripada pelanggaran undang-undang antarabangsa selain menunaikan tanggungjawab berdepan sekatan haram serta pendudukan Israel di Palestin," ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa misi GSF dijangka tiba ke Gaza dalam tempoh empat hari lagi.
Perkara itu dimaklumkan oleh salah seorang sukarelawan, Zainal Rashid Ahmad menerusi laman TikTok ZRA Strim, selain menjelaskan bahawa semua kapal misi itu kini belayar di Tebing Crete untuk mengelak kesan ombak tinggi dan laut bergelora.
Ringkasan AI
- Konvoi Global Sumud Flotilla kini berlayar perlahan di perairan Greece
- Ancaman Israel meningkat ketika konvoi menghampiri perairan antarabangsa
- Israel dituduh cuba menyerang konvoi dengan tuduhan memiliki kaitan dengan Hamas
- EU digesa mengambil tindakan terhadap ancaman kepada kapal kemanusiaan
- Misi GSF dijangka tiba ke Gaza dalam empat hari lagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
