Polis Selangor perhebat operasi pemandu mabuk, lumba haram

SHAH ALAM – Polis Selangor akan terus memperhebat operasi membanteras pemandu mabuk dan perlumbaan haram.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penekanan terhadap peranan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) adalah penting sebagai imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) di jalan raya.
Menurutnya, semua pegawai dan anggota perlu berdisiplin, berintegriti, profesional, mesra rakyat serta memanfaatkan teknologi moden.
"Berdasarkan statistik tahun ini setakat Ogos, kemalangan melibatkan warga PDRM menurun sebanyak 26.09 peratus kepada 34 kes berbanding 46 kes pada tahun 2024.
"Selain itu, operasi terhadap pemandu mabuk, perlumbaan haram dan kecuaian pengguna jalan raya perlu dipertingkatkan selain memperkasa program pendidikan pencegahan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, Polis Selangor khususnya memandang serius insiden kemalangan terutama yang melibatkan kumpulan samseng jalanan, selain kes yang berpunca daripada kecuaian individu.
Tambahnya, beberapa lokasi panas telah dikenal pasti oleh JSPT Kontinjen Selangor melibatkan kawasan perlumbaan haram, dan tindakan akan diambil oleh polis dalam usaha membanteras budaya negatif itu.
Ujarnya, kejayaan dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman khususnya di Selangor merupakan hasil kerja berpasukan semua jabatan dalam PDRM.
"Masyarakat diingatkan untuk terus mematuhi peraturan jalan raya serta mengelakkan sebarang aktiviti jenayah. Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perkara yang mencetuskan ketidaktenteraman dan kegusaran awam," ujarnya.
Ringkasan AI
- Polis Selangor akan memperhebatkan operasi pemandu mabuk dan lumba haram
- Penekanan peranan JSPT penting untuk imej PDRM di jalan raya
- Semua pegawai dan anggota PDRM perlu berdisiplin dan memanfaatkan teknologi moden
- Kemalangan melibatkan warga PDRM menurun 26.09 peratus setakat Ogos tahun ini
- Lokasi hotspot lumba haram dikenal pasti untuk tindakan pencegahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
