BUDI95: Orang ramai perbaharui lesen elak masalah tuntut subsidi RON95

SHAH ALAM – Orang ramai mula mengunjungi kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jalan Padang Jawa, Seksyen 16 di sini pada Khamis bagi memperbaharui lesen memandu masing-masing.
Tinjauan mendapati langkah itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung mekanisme tuntutan subsidi petrol RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang hanya membenarkan warganegara dengan lesen memandu aktif menikmati subsidi tersebut.
Pasangan suami isteri, Tay dari Setia Alam misalnya hadir lebih awal untuk memperbaharui lesen walaupun tarikh tamat pada April tahun depan.
Tay yang berusia 70 tahun itu berkata, mereka tidak mahu berdepan kesulitan ketika membuat tuntutan bantuan subsidi petrol itu.

“Lebih baik perbaharui awal daripada hadapi masalah kemudian hari,” katanya ketika ditemui di kaunter pembaharuan lesen memandu di sini pada Khamis.
Seorang lagi pengunjung, Arshad Nordin, 34, dari Klang, turut mengambil langkah sama dengan memperbaharui lesen walaupun tempohnya hanya tamat pada Disember ini.
“Kalau buat cepat, tidak perlu lagi bimbang untuk mendapatkan bantuan subsidi petrol yang disediakan Kerajaan Madani,” katanya.
Sementara itu, Sivakumar, 46, dari Seksyen 25, Shah Alam berkata, dia sanggup beratur panjang kerana bimbang kelak berdepan masalah jika lewat memperbaharui lesen.
“Lebih selamat uruskan awal, sekurang-kurangnya saya sudah bersedia bila program subsidi ini dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya.
Subsidi petrol RON95 disasarkan kepada warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif.
Had kelayakan subsidi ditetapkan sebanyak 300 liter sebulan berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Harga subsidi kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga pasaran tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter.
Penggunaan melebihi kuota akan dikenakan harga pasaran semasa, manakala pemandu e-hailing boleh memohon tambahan kuota menerusi portal sama.
Ringkasan AI
- Orang ramai mula mengunjungi kaunter JPJ di Shah Alam untuk memperbaharui lesen memandu susulan pengumuman mekanisme tuntutan subsidi petrol RON95
- Pasangan suami isteri dan individu-individu tertentu memperbaharui lesen lebih awal untuk mengelak kesulitan mendapatkan subsidi petrol
- Subsidi petrol RON95 disasarkan kepada warganegara Malaysia dengan lesen memandu aktif
- Had kelayakan subsidi ditetapkan sebanyak 300 liter sebulan dengan harga subsidi kekal pada RM1.99 seliter
- Penggunaan melebihi kuota akan dikenakan harga pasaran semasa, pemandu e-hailing boleh memohon tambahan kuota
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

