Kaunter JPJ jadi tumpuan perbaharui lesen

Urusan perbaharu lesen masih jadi pilihan mereka yang kurang mahir aplikasi digital. (Gambar kecil: Hafizah, Shamsul, Suzana)
Urusan perbaharu lesen masih jadi pilihan mereka yang kurang mahir aplikasi digital. (Gambar kecil: Hafizah, Shamsul, Suzana)
A
A
A

KOTA BHARU – Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di sini menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi Khamis bagi urusan memperbaharui lesen memandu, terutama bagi yang kurang mahir menggunakan aplikasi digital MyJPJ.

Tinjauan Sinar Harian mendapati hampir 100 pelanggan hadir seawal jam 8 pagi dan semakin meningkat menjelang jam 10 pagi.

Kebanyakan mereka mengambil peluang berbuat demikian bagi memastikan kelayakan menikmati subsidi petrol RON95 di bawah skim Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang menawarkan harga RM1.99 seliter bermula 30 September ini.

Peniaga sate dari Kadok, Shamsul Derahman, 56, berkata, dia hadir sehari lebih awal kerana lesen memandunya tamat tempoh pada Jumaat.

Orang ramai yang menunggu giliran bagi memperbaharui lesen.
Orang ramai yang menunggu giliran bagi memperbaharui lesen.

“Saya tak pandai guna sistem digital, walaupun anak ajar tapi tetap tak faham.

“Kebetulan lesen tamat tempoh esok (Jumaat), jadi saya datang kaunter untuk sambung tiga tahun terus dan nak dapatkan harga petrol RM1.99,” katanya ketika ditemui di JPJ Panji di sini.

Menurut Shamsul, proses yang dilakukan melalui kaunter itu sangat lancar dan tidak mengambil masa lama.

Artikel Berkaitan:

Bagi peniaga, Hafizah Abdullah, 45, dia mengakui sudah mendaftar MyJPJ namun terlupa kata laluan selain tidak tahu lesen boleh diperbaharui secara digital.

“Kebetulan saya ada urusan lain di JPJ, tengok lesen rupanya dah tamat tempoh sejak Jun lagi.

“Saya segera perbaharui supaya boleh nikmati subsidi RON95 kerana saya sendiri menggunakan kenderaan untuk berniaga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah memaklumkan kaunter negeri itu sememangnya menerima lebih ramai pelanggan pada Khamis dan Ahad berbanding hari biasa.

Beliau berkata, kaunter perkhidmatan JPJ seluruh Kelantan juga dibuka pada hujung minggu bermula Jumaat ini selama sebulan untuk memudahkan pelanggan melakukan urusan itu.

“Empat hari bermula Ahad lalu, statistik merekodkan 1,589 pembaharuan lesen memandu dibuat, manakala 11 lagi permohonan rayuan bagi lesen tamat tempoh melebihi tiga tahun.

“Secara keseluruhan, 104,847 pembaharuan lesen dilakukan di kaunter bagi tempoh Januari hingga 24 Ogos tahun ini berbanding 130,187 dalam tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, di SEREMBAN, orang ramai mula mengunjungi JPJ Negeri Sembilan di sini pada Khamis, namun keadaan masih terkawal dan tidak perlu menunggu lama untuk berurusan.

Suri rumah, Suzana Mohd Sharif, 55, berkata, dia terlupa untuk memperbaharui lesennya sejak dua tahun lalu kerana jarang lagi memandu.

Urusan yang dilakukan di kaunter JPJ di Panji. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID
Urusan yang dilakukan di kaunter JPJ di Panji. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

“Selepas suami saya bersara, dia ada banyak masa untuk menemani saya ke mana-mana membuatkan saya jarang lagi memandu.

“Bila kerajaan umumkan mengenai pemberian subsidi RON95 itu saya teringat nak tengok lesen dan rupa-rupanya sudah dua tahun tamat tempoh,” katanya.

Suzana berkata, walaupun dia jarang lagi memandu, tetapi penting untuk perbaharuinya bagi memudahkan urusannya akan datang.

Pekerja khidmat menyelenggara penapis air, Hazlina Abu Bakar, 38, pula berkata, dia ke JPJ untuk mengeluarkan namanya daripada senarai hitam lesen memandu bagi membolehkannya mendapat subsidi petrol.

Katanya, sebelum ini dia disaman JPJ kerana cukai jalan tamat tempoh sehingga lesen memandunya disenaraihitamkan dan terpaksa menunggu keputusan mahkamah.

“Baru bulan lepas kes saya selesai di mahkamah, jadi saya tunggu untuk keluarkan nama daripada senarai hitam JPJ terlebih dahulu.

“Hari ini saya datang ke JPJ untuk memperbaharui lesen memandu. Perkara ini perlu diselesaikan juga kerana jika tidak, saya terpaksa membayar kos petrol RM2.60 seliter,” katanya.

Menurut Hazlina, subsidi tersebut amat diperlukan bagi meringankan kos pergerakannya yang selalu ke rumah pelanggan bagi membuat kerja-kerja penyelenggaraan penapis air.

Katanya, dalam tempoh sebulan biasanya dia memperuntukkan kira-kira RM500 untuk petrol.

Ringkasan AI

  • Kaunter JPJ Kelantan menjadi tumpuan untuk memperbaharui lesen memandu terutama bagi yang kurang mahir menggunakan aplikasi MyJPJ
  • Pelanggan datang awal untuk memastikan mereka layak menikmati subsidi petrol RON95 di bawah Program Budi Madani RON95
  • Peniaga sate, Shamsul Derahman, hadir untuk memperbaharui lesen yang hampir tamat tempoh dan untuk mendapatkan harga petrol RM1.99
  • Hafizah Abdullah, walaupun telah mendaftar MyJPJ, tetap memperbaharui lesen secara fizikal kerana terlupa kata laluan dan tidak tahu boleh diperbaharui secara digital
  • JPJ Kelantan menerima lebih ramai pelanggan pada Khamis dan Ahad, dan kaunter perkhidmatan dibuka pada hujung minggu untuk memudahkan pelanggan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!