X

Kindly register in order to view this article
!

Tentera mula berkawal tengah malam ini

Pemandangan udara pada waktu malam di jalan-jalan utama sekitar pusat bandar Kuala Lumpur kelihatan lengang ketika tinjauan. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mulai tengah malam ini, khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerah untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan rakyat berada di rumah masing-masing dalam usaha membendung koronavirus (Covid-19).

Perkara tersebut diputuskan oleh Menteri Pertahanan yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Usaha kawalan itu dibuat di bawah Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban PDRM dalam penugasan sepanjang perintah berkenaan selain mahu melihat keberkesanannya terhadap orang awam yang enggan mematuhi perintah tersebut.

Ketika ini, PDRM telah melakukan 504 sekatan jalan raya di seluruh negara melibatkan penugasan kira-kira 8,600 anggotanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara sehingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 600 anggota tentera akan mula membantu polis Terengganu menjalankan tugas pengawalan pergerakan di seluruh daerah bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, ia adalah tambahan kepada 800 pegawai dan anggota polis sedia ada yang mula menjalankan tugas pengawalan pergerakan sejak Rabu lalu.

Menurutnya, kawalan bersama ini diharap akan memberi lebih kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya wabak koronavirus (Covid-19) sekaligus usaha membendung penularan wabak berkenaan berjaya dilaksanakan.

"Jika dilihat pada hari keempat perintah kawalan pergerakan ini, tahap pematuhan rakyat negeri ini berada di tahap 80-85 peratus.

"Jadi kita harapkan kerjasama melalui kawalan bersama ini akan dapat meningkatkan pematuhan sehingga 95 peratus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Roslee berkata, sehingga kini pihaknya sudah melakukan 27 sekatan jalan raya dan jumlahnya dijangka akan bertambah dengan adanya pembabitan daripada pihak tentera.

Katanya, kaedah pengawalan yang akan dilakukan pula adalah sama sebagaimana yang dibuat sebelum ini iaitu menerusi hebahan oleh kereta peronda, sekatan jalan raya dan rondaan di semua kawasan terutama lokasi tumpuan ramai dan kawasan awam.

"Bermula malam ini, pergerakan akan dilakukan secara bersama antara polis dan tentera.

"Rondaan di jalan kampung juga akan dilakukan bagi memastikan penduduk di kawasan kampung patuh pada perintah kawalan pergerakan dengan tidak melakukan aktiviti yang dilarang seperti perniagaan kedai makan dan sebagainya,” katanya.

Tegasnya, kegagalan mematuhi perintah berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus