Dewan Muslimat Pas gesa kerajaan Terengganu semak semula tarif air

Zarani
Zarani
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu menggesa kerajaan negeri meneliti semula pelaksanaan pelarasan tarif air yang dikuatkuasakan sebelum ini agar tidak membebankan rakyat.

Ketuanya, Toh Puan Zarani Othman berkata, kadar baharu itu memberi kesan besar kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan keluarga besar.

Menurut Zarani, pihaknya memahami keperluan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dalam menampung kos operasi dan penyelenggaraan, namun kadar baharu tarif air tersebut dilihat membebankan golongan pengguna kurang berkemampuan.

"Dewan Muslimat Pas mengambil maklum tentang keperluan SATU, tetapi pada masa yang sama kami berpandangan kenaikan mendadak ini akan memberi impak besar kepada isi rumah yang sudah sedia menanggung pelbagai kos sara hidup.

"Sehubungan itu, kami memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan semula kadar tarif yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, beberapa langkah boleh dipertimbangkan bagi meringankan beban pengguna termasuk menetapkan mekanisme subsidi bersasar untuk isi rumah B40, menyemak semula kadar blok tarif melebihi 20 meter padu agar lebih berpatutan serta menambah baik pendidikan penggunaan air secara berhemah.

"Dengan keprihatinan kepimpinan negeri, penyelesaian terbaik mampu dicapai demi memastikan keperluan asas rakyat terus terjamin selari dengan dasar Terengganu Maju, Berkat Sejahtera," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut memaklumkan bahawa syarikat air itu memerlukan peruntukan sekitar RM500 juta bagi kerja pembaikan dan penggantian jajaran paip usang serta kritikal di seluruh negeri.

Menurutnya, daripada keseluruhan 8,600 kilometer jajaran paip, kira-kira 1,300 kilometer adalah paip asbestos cement (AC) yang telah melebihi jangka hayat, manakala hampir 580 kilometer dikenal pasti sebagai paip kritikal yang perlu diganti segera.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, hampir 40 peratus kos operasi SATU melibatkan penggunaan tenaga elektrik dengan perbelanjaan sekitar RM70 hingga RM80 juta setahun, selain tambahan beban akibat kenaikan tarif elektrik dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

 

Ringkasan AI

  • Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu menggesa kerajaan negeri meneliti semula pelaksanaan pelarasan tarif air agar tidak membebankan rakyat
  • Kadar baharu tarif air memberi kesan besar kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan keluarga besar
  • Peningkatan mendadak tarif air dilihat memberi impak besar kepada keluarga yang sudah menanggung kos sara hidup
  • Dicadangkan mekanisme subsidi bersasar untuk isi rumah B40 dan semakan kadar blok tarif melebihi 20 meter padu
  • SATU memerlukan peruntukan sekitar RM500 juta untuk pembaikan dan penggantian paip usang dan kritikal di seluruh negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!