Kenaikan tarif air bukti Terengganu gagal urus kewangan - Pemuda Amanah

Pemuda manah Terengganu menyifatkan kenaikan tarif air di negeri ini sebagai bukti kegagalan kerajaan negeri mencari jalan kreatif dalam mengurus kewangan. Foto hiasan
Pemuda manah Terengganu menyifatkan kenaikan tarif air di negeri ini sebagai bukti kegagalan kerajaan negeri mencari jalan kreatif dalam mengurus kewangan. Foto hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menyifatkan kenaikan tarif air di negeri ini sebagai bukti kegagalan kerajaan negeri mencari jalan kreatif dalam mengurus kewangan.

Pengarah Komunikasinya, Wan Muhammad Afiq Wan Zainalabidin berkata, tindakan menaikkan tarif air yang berkuat kuasa 1 Ogos lalu hanya membebankan rakyat apabila pengguna dilaporkan berdepan kenaikan antara 50 hingga 100 peratus.

Menurutnya, keputusan itu menunjukkan kerajaan negeri tidak peka terhadap kesusahan rakyat dan lebih memilih jalan mudah bagi mengatasi cabaran kewangan.

"Kerajaan negeri mengambil duit lebih daripada poket rakyat untuk menampung kelemahan pengurusan kewangan. Lebih mengecewakan, masalah asas bekalan air seperti tekanan rendah, kebocoran paip dan gangguan berulang masih belum ditangani dengan baik.

"Tindakan menaikkan tarif dalam keadaan perkhidmatan belum memuaskan hanya menambah kemarahan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Muhammad Afiq berkata, kerajaan negeri sepatutnya lebih kreatif dalam mencari sumber kewangan baharu memandangkan Terengganu kaya dengan hasil sumber asli serta berpotensi besar dalam sektor pelancongan, perikanan dan pembangunan ekonomi hijau.

"Kelemahan perancangan dan ketidakmampuan mencari jalan keluar menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

"Kenaikan tarif air yang diputuskan tanpa mendengar suara rakyat menunjukkan kerajaan negeri semakin jauh daripada prinsip Terengganu Sejahtera. Rakyat berhak mendapat perkhidmatan terbaik dahulu sebelum sebarang kenaikan dilaksanakan," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri digesa menarik kembali pelaksanaan tarif baharu tersebut dan menumpukan keutamaan kepada pelan penambahbaikan menyeluruh dalam perkhidmatan air.

Artikel Berkaitan:

"Perancangan itu perlu disertakan garis masa yang jelas serta jaminan mutu perkhidmatan yang lebih baik.

"Air adalah keperluan asas rakyat, bukannya sumber pendapatan untuk menutup kelemahan kerajaan negeri dalam mengurus hasil negeri," katanya.

Ringkasan AI

  • KUALA TERENGGANU - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu mengkritik kenaikan tarif air sebagai bukti kegagalan kerajaan negeri dalam pengurusan kewangan
  • Kenaikan tarif air sebanyak 50 hingga 100 peratus membebankan rakyat dan menunjukkan kerajaan negeri tidak peka dengan kesusahan rakyat
  • Tindakan menaikkan tarif dilakukan tanpa peningkatan kualitas perkhidmatan air yang memadai seperti masalah tekanan rendah, kebocoran paip dan gangguan berulang
  • Pemuda Amanah menyarankan kerajaan negeri harus lebih kreatif mencari sumber kewangan baru dan tidak bergantung pada peningkatan tarif air
  • Mendesak kerajaan negeri menarik balik kenaikan tarif air dan memprioritaskan peningkatan kualitas perkhidmatan air bagi rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!