Suami isteri warga China ditahan hantar e-mel ugutan bom dalam pesawat

Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku menghantar mesej palsu tersebut melalui aplikasi rasmi sebuah syarikat penerbangan. Foto hiasan
Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku menghantar mesej palsu tersebut melalui aplikasi rasmi sebuah syarikat penerbangan. Foto hiasan
A
A
A

TAWAU - Sepasang suami isteri warganegara China ditahan di sini semalam selepas disyaki menghantar e-mel berbaur ugutan mendakwa kononnya terdapat bom dalam pesawat yang akan berlepas dari Tawau ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 28 dan 29 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Semporna pada jam 8 malam.

"Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku menghantar mesej palsu tersebut melalui aplikasi rasmi sebuah syarikat penerbangan.

"Alasannya untuk mendapatkan respons daripada syarikat penerbangan itu kerana mahu menukar tempat duduk dalam penerbangan mereka ke Kuala Lumpur sebelum transit ke Beijing," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Jasmin berkata, suspek turut mendakwa tindakan itu dilakukan kerana terbaca satu portal di China berkaitan cara mempercepatkan maklum balas syarikat penerbangan adalah dengan melakukan aduan berbentuk ancaman.

"E-mel ancaman itu dihantar ke ibu pejabat syarikat penerbangan terbabit di Kuala Lumpur, kira-kira jam 11.30 malam pada 20 September, dan kemudian maklumat disalurkan kepada pihak keselamatan syarikat penerbangan berkenaan di Lapangan Terbang Tawau," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain pihak Konsulat Republik China turut dimaklumkan mengenai penahanan itu. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sepasang suami isteri warganegara China ditahan di Tawau kerana menghantar e-mel ancaman bom
  • Ditahan di sebuah hotel di Semporna pada jam 8 malam
  • Mengaku menghantar mesej palsu untuk mendapat respons syarikat penerbangan bagi menukar tempat duduk
  • Mengaku bertindak berdasarkan cara mempercepatkan maklum balas syarikat penerbangan yang dibaca dalam portal di China
  • Disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!