Jalinan strategik baharu Malaysia, Timor-Leste

Anwar bersama Presiden Dr Jose Ramos-Horta menaiki Mini Moke, sebuah kenderaan yang sinonim dengan acara rasmi di Timor-Leste semasa lawatan rasmi selama dua hari ke negara itu. Gambar kecil: Nazariah Osman
Anwar bersama Presiden Dr Jose Ramos-Horta menaiki Mini Moke, sebuah kenderaan yang sinonim dengan acara rasmi di Timor-Leste semasa lawatan rasmi selama dua hari ke negara itu. Gambar kecil: Nazariah Osman
A
A
A

LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dili, Republik Demokratik Timor-Leste pada 23 dan 24 September merupakan satu detik bersejarah dalam hubungan diplomatik Malaysia–Timor-Leste serta dalam konteks geopolitik ASEAN.

Selain bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala, ia juga menjadi simbol sokongan Malaysia terhadap proses kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

Hubungan Malaysia dengan Timor-Leste sememangnya unik dan rapat. Malaysia merupakan negara pertama yang membuka pejabat perhubungan di Dili pada 13 April 2001 dan seterusnya menjadi negara ASEAN pertama yang menubuhkan kedutaan di sana pada 20 Mei 2002, sehari sebelum Timor-Leste merdeka.

Timor-Leste pula membalas langkah tersebut dengan membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2002.

Hubungan diplomatik yang akrab sejak awal inilah yang memberi latar kepada lawatan rasmi Perdana Menteri yang kini mencatatkan episod baharu dalam kerjasama dua hala dan serantau.

Lawatan rasmi ini dipenuhi dengan siri acara yang padat, berprotokol tinggi dan signifikan selaras dengan kedudukannya sebagai kunjungan pertama Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun.

Sebaik tiba di Dili pada jam tiga petang 23 September, Perdana Menteri berangkat ke Istana Presiden untuk majlis sambutan rasmi yang berlangsung sejam kemudian. Ini diikuti pertemuan hormat dengan Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta, diikuti sidang media ringkas.

Anwar ketika menerima kunjungan hormat Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta, di Putrajaya.
Anwar ketika menerima kunjungan hormat Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta, di Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

Pada petang yang sama, beliau meluangkan masa untuk berinteraksi bersama diaspora Malaysia, alumni Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) dan Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP), di Palm Springs Hotel.

Hari pertama diakhiri dengan jamuan rasmi pada jam tujuh setengah malam yang dihoskan bersama oleh Presiden dan Perdana Menteri Timor-Leste di GMN Multipurpose Hall.

Hari kedua, 24 September, bermula dengan ucapan Perdana Menteri di Parlimen Nasional Timor-Leste pada jam 8.45 pagi.

Selepas itu, beliau mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, di Istana Kerajaan sebelum menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman.

Sejam kemudian, beliau bersama rakan sejawatnya menghadiri sidang media bersama di lobi Istana Kerajaan.

Tidak lama selepas itu, beliau melancarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa di Pelabuhan Dili pada jam 11.30 pagi diikuti oleh sidang media pada jam 1.15 petang di Palm Springs Hotel manakala pada jam 2.00 petang Perdana Menteri menerima penganugerahan Grand Collar of the Order of Timor-Leste dalam satu acara syarahan Presiden di Istana Presiden.

Lawatan bersejarah ini tamat pada jam 3.30 petang apabila beliau berlepas pulang dari Lapangan Terbang Presidente Nicolau Lobato.

Keseluruhan rangkaian acara ini mencerminkan dua dimensi besar. Pertama, penghargaan kepimpinan tertinggi Timor-Leste terhadap Malaysia.

Kedua, kehadiran Malaysia sebagai rakan kongsi pembangunan, pendidikan, keselamatan, perdagangan dan diplomasi serantau yang kukuh.

Malaysia melihat penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai suatu keperluan inklusif untuk memastikan ASEAN kekal relevan, berdaya tahan dan bersepadu.

Malaysia sejak awal telah menyokong aspirasi Timor-Leste, termasuk dengan menyumbang AS$200,000 bagi menubuhkan Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN pada bulan Mei 2025 dan menyediakan RM4.1 juta melalui MTCP untuk melaksanakan pelbagai program latihan khusus.

Lawatan ini juga berfungsi sebagai platform untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor utama.

Dalam bidang pendidikan, lebih 1,179 rakyat Timor-Leste telah mengikuti program MTCP, termasuk 319 peserta pada tahun 2024 sahaja.

Sehingga bulan Jun 2025, seramai 55 pelajar Timor-Leste sedang menuntut di Malaysia dan penandatanganan Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama pendidikan tinggi pada bulan 18 Jun 2025 dijangka membawa lebih banyak manfaat bersama.

Dalam bidang pengangkutan, laluan penerbangan langsung Kuala Lumpur–Dili oleh Batik Air yang mula beroperasi pada 6 Jun 2025 telah menjadi pemangkin mobiliti rakyat, perdagangan dan pelancongan.

Dari sudut perdagangan pula, nilai perdagangan dua hala antara bulan Januari hingga bulan Julai 2025 mencapai AS$6.65 juta, dengan lebih 200 syarikat kecil dan sederhana (PKS) Malaysia aktif dalam sektor makanan dan minuman, hospitaliti, runcit dan automotif di Timor-Leste.

Dari segi keselamatan dan pertahanan, kerjasama melalui Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP) memperkukuhkan kepercayaan Dili terhadap kepakaran Malaysia.

Malah, lawatan ini turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman penting, iaitu antara Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dengan Banco Central de Timor-Leste dalam bidang pembangunan profesional kewangan serta antara Asian Institute of Insurance (AII) dengan Banco Central de Timor-Leste dalam bidang pendidikan insurans.

Lawatan ini membawa tiga mesej utama kepada rantau. Pertama, ia menegaskan bahawa ASEAN mesti menjadi komuniti inklusif yang tidak meninggalkan Timor-Leste di pinggir, sebaliknya menerima negara tersebut sebagai anggota setara.

Kedua, ia membuktikan keupayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memainkan peranan diplomasi strategik, menjadi jambatan integrasi dan memastikan proses penerimaan Timor-Leste berlaku dengan lancar.

Ketiga, ia mengukuhkan identiti serantau ASEAN dengan kehadiran Timor-Leste yang membawa kepelbagaian budaya, bahasa dan sejarah, sekali gus memperkayakan lagi moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

Kesimpulannya, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Timor-Leste ini adalah titik bersejarah yang menggabungkan tiga dimensi penting, iaitu pengukuhan hubungan dua hala Malaysia–Timor-Leste, solidariti serantau ASEAN dan strategi geopolitik Indo-Pasifik.

Malaysia tampil bukan sahaja sebagai rakan akrab, tetapi juga sebagai pemimpin serantau yang menzahirkan visi ASEAN inklusif dan bersepadu.

* Profesor Madya Dr. Nazariah Osman ialah Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!