Giliran Perancis iktiraf Palestin, beri tekanan baharu kepada Israel

NEW YORK – Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan bahawa negaranya secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, langkah bersejarah yang diumumkan menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.
“Kita berkumpul di sini kerana masanya telah tiba. Tanggungjawab ini terletak pada kita untuk melakukan segala yang termampu demi mengekalkan kemungkinan penyelesaian dua negara. Hari ini, saya mengisytiharkan bahawa Perancis mengiktiraf negara Palestin,” katanya pada sidang kemuncak PBB yang bertujuan menghidupkan semula solusi dua negara dalam konflik Israel-Palestin pada Isnin.
Terkini sekitar 150 daripada 193 negara anggota PBB sudah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, dengan angka itu dijangka terus bertambah selepas siri pengumuman baharu oleh negara Barat.
Pengiktirafan oleh Perancis hadir selepas Australia, Kanada, Portugal dan United Kingdom mengambil langkah sama pada Ahad, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Israel yang meneruskan serangan ke atas Gaza sehingga meragut lebih 65,300 nyawa rakyat Palestin dan menghancurkan sebahagian besar wilayah itu.
Tahun lalu, Sepanyol, Norway dan Ireland turut mengiktiraf Palestin, dengan Sepanyol mengenakan sekatan ke atas Israel susulan perang di Gaza. Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menegaskan bahawa solusi dua negara tidak mungkin tercapai ketika rakyat Palestin berdepan “genosid”.
“Rakyat Palestin sedang dimusnahkan, maka atas nama akal, undang-undang antarabangsa dan maruah kemanusiaan, kita mesti hentikan pembunuhan ini,” katanya.
Dalam ucapannya, Macron turut membentangkan kerangka pembentukan ‘Pihak Berkuasa Palestin yang diperbaharui’, di mana Perancis akan membuka kedutaan dengan syarat berlaku pembaharuan, gencatan senjata serta pembebasan semua tahanan di Gaza. Kerangka itu juga mencadangkan penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) bagi membantu PA mengambil alih pentadbiran di Gaza.
Kementerian Luar Palestin menyambut baik pengumuman tersebut, menyifatkannya sebagai keputusan bersejarah dan berani yang selari dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.
Namun, Israel dan Amerika Syarikat tetap menentang keras. Kedua-duanya memboikot sidang kemuncak itu, dengan Duta Israel ke PBB, Danny Danon melabelkan acara tersebut sebagai sarkas.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pula menegaskan bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan realistik ke arah perdamaian selepas bertahun-tahun kegagalan rundingan.
“Penubuhan negara Palestin adalah hak, bukan ganjaran,” katanya sambil menolak dakwaan AS dan Israel bahawa pengiktirafan itu memberi ganjaran kepada Hamas.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud turut merakamkan penghargaan kepada Macron dan Guterres, dengan menegaskan bahawa solusi dua negara adalah satu-satunya cara untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.
Katanya, sidang yang dipengerusikan bersama Perancis dan Arab Saudi itu berlangsung ketika Israel terus melancarkan pencerobohan, jenayah kejam di Gaza, pelanggaran di Tebing Barat, serta serangan berulang ke atas negara Arab dan Islam termasuk yang terbaru ke atas Qatar.
“Tindakan ini membuktikan keengganan Israel menghentikan amalan agresif yang mengancam keamanan serantau dan antarabangsa serta menggagalkan segala usaha perdamaian,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mengkritik langkah pengiktirafan itu dengan mendakwa ia akan menguatkan Hamas dan menyukarkan usaha menamatkan perang.-ALJAZEERA
Ringkasan AI
- Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengumumkan pengiktirafan Palestina sebagai negara berdaulat menjelang Perhimpunan Agung PBB di New York
- Lebih 150 daripada 193 negara anggota PBB sudah mengiktiraf Palestin, dengan jumlah ini dijangka bertambah selepas pengumuman oleh negara-negara Barat
- Pengiktirafan oleh Perancis dilakukan selepas Australia, Kanada, Portugal, dan United Kingdom, meningkatkan tekanan ke atas Israel
- Macron membentangkan kerangka untuk pembentukan 'Pihak Berkuasa Palestin yang diperbaharui', termasuk pembukaan kedutaan Perancis dan gencatan senjata
- Kementerian Luar Palestin menyambut pengumuman ini sebagai keputusan bersejarah, sementara Israel dan Amerika Syarikat menentang keras inisiatif tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

