Penduduk Gaza hanya menunggu mati

Keadaan Gaza yang sudah binasa dibom Israel sejak lebih 23 bulan lalu. Foto AFP
Keadaan Gaza yang sudah binasa dibom Israel sejak lebih 23 bulan lalu. Foto AFP
A
A
A

BANDAR GAZA - Pengarah Hospital al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya sedang bertugas di kemudahan itu ketika Bandar Gaza terus dihujani bom pada akhir minggu lalu.

Tubuhnya menggigil setelah dua mangsa terkorban yang dibawa ke wad kecemasan merupakan dua ahli keluarganya.

"Hati saya hancur melihat jasad kaku kedua-duanya. Apa sahaja boleh berlaku sekarang dan mangsa cedera atau terbunuh mungkin melibatkan insan tersayang. Kezaliman Zionis berterusan dan jumlah korban kekejaman mereka terus meningkat," katanya dalam nada kesal.

Penduduk Palestin di Khan Yunis, selatan Gaza bergantung penuh kepada makanan panas diagihkan dapur kecemasan. Foto AFP
Penduduk Palestin di Khan Yunis, selatan Gaza bergantung penuh kepada makanan panas diagihkan dapur kecemasan. Foto AFP

Al-Shifa terus dibanjiri puluhan mayat penduduk Palestin setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan serangan darat kononnya untuk menyasarkan markas terakhir Hamas pada Selasa lalu.

Ketika ratusan ribu sudah menuju ke selatan, masih ramai penduduk yang terperangkap di bandar tersebut kerana sudah terlalu lelah berpindah-randah atau tidak berkemampuan.

"Saya bersama isteri dan tiga anak perempuan kami hanya menunggu mati.

"Zionis melakukan pemindahan paksa bagi membolehkan ia membinasakan Bandar Gaza sepenuhnya, sekali gus menjadikan ia sebagai Beit Hanoun atau Rafah yang tidak boleh didiami untuk tempoh 100 tahun akan datang," ujar Mohammed Nasar, 38, yang berlindung di kawasan Tal al-Hawa.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Palestin yang berjalan kaki mengambil masa lebih 12 jam untuk tiba di kawasan selatan. Foto AFP
Penduduk Palestin yang berjalan kaki mengambil masa lebih 12 jam untuk tiba di kawasan selatan. Foto AFP

Ketika IDF mengeluarkan arahan berpindah secara paksa, ramai penduduk Palestin mengeluh kerana kos perjalanan yang terlalu tinggi selain tidak tahu mahu tuju ke mana lagi.

Perjalanan lebih 12 jam

Kumpulan yang berpindah secara beramai-ramai itu mendakwa perjalanan mereka ke al-Mawasi, 'zon selamat' ciptaan Israel mengambil masa lebih 12 jam

Ramai penduduk masih terperangkap di barat Bandar Gaza. Foto AFP
Ramai penduduk masih terperangkap di barat Bandar Gaza. Foto AFP

Pemilik trak turut mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran AS$1,500 (RM6,310) hingga AS$2,000 (RM8,414) untuk jarak kira-kira 30 kilometer.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira sejuta orang sudah meninggalkan Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya hingga akhir bulan lalu.

Terdapat keluarga yang tidak berkemampuan untuk berpindah ke selatan. Foto AFP
Terdapat keluarga yang tidak berkemampuan untuk berpindah ke selatan. Foto AFP

Raeda al-Amareen berkata, dia kini hidup dalam ketakutan dengan bunyi letupan yang terus menggegar tengah wilayah tersebut sejak beberapa hari lalu.

"Kami mahu berpindah, namun tiada wang. 10 shekel (RM12) untuk membeli roti pun tiada. Apa yang perlu kami lakukan? Kami hanya mampu berserah, sama ada mati di sini atau ada pihak mencari penyelesaian buat kami," rintihnya. - AFP

 

Ringkasan AI

  • Pengarah Hospital al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya menyaksikan dua ahli keluarganya terbunuh akibat bom di Bandar Gaza
  • Hospital al-Shifa dibanjiri mayat akibat serangan Israel untuk menyasarkan markas Hamas
  • Banyak penduduk terperangkap di Bandar Gaza kerana terlalu lelah berpindah atau tidak mampu
  • Perintah pemindahan paksa oleh Israel meningkatkan kesusahan penduduk, dengan perjalanan ke zon selamat mencapai lebih 12 jam dan kos tinggi
  • Sekitar sejuta orang telah meninggalkan Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya, dengan kebanyakan hidup dalam ketakutan dan kemiskinan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!