Bandar Gaza bakal jadi kawasan berhantu

Tentera Israel memberi amaran akan melancarkan operasi luar biasan di Bandar Gaza, menggesa penduduk berpindah ke selatan.- Foto AFP
Tentera Israel memberi amaran akan melancarkan operasi luar biasan di Bandar Gaza, menggesa penduduk berpindah ke selatan.- Foto AFP
A
A
A

SERANGAN Israel ke atas Bandar Gaza kini memasuki fasa paling agresif dengan pengumuman tentera bahawa mereka akan menggunakan sepenuh kuasa sambil menggesa penduduk mengosongkan bandar melalui laluan pesisir.

Pada 17 September lalu, tentera Israel membuka satu lagi laluan keluar selama 48 jam untuk orang awam meninggalkan Bandar Gaza ketika operasi diperhebat bagi mengosongkan kawasan penempatan, sekali gus menumpukan pertempuran menentang pejuang Hamas.

Pemerhati antarabangsa menyifatkan kerahan untuk penduduk untuk berpindah agar menyebabkan Bandar Gaza bakal menjadi sepi tanpa penghuni.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) melaporkan, penduduk yang masih berada di Bandar Gaza berdepan pengeboman harian, kekurangan makanan, air dan rawatan manakala perpindahan paksa berulang menjadikan kelangsungan hidup hampir mustahil.

Dalam tempoh dua minggu terakhir antara 31 Ogos hingga 13 September, laporan menunjukkan jurang besar antara jumlah yang berpindah dan kapasiti bantuan. Ratusan ribu memerlukan khemah, air bersih dan sanitasi, namun bekalan kekal tidak mencukupi.

OCHA turut merekodkan kadar kerosakan meluas ke atas sekolah dan infrastruktur asas, sekali gus menjejaskan operasi bantuan serta pemulihan pendidikan kanak-kanak.

Angka korban meningkat

Pada 18 September, agensi itu mengemas kini angka korban yang terus meningkat seiring intensiti serangan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan operasi besar itu perlu untuk melumpuhkan jaringan terowong, gudang senjata dan sel militan Hamas.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai operasi signifikan bagi memastikan keselamatan Israel.

Namun, realiti di lapangan menyaksikan ramai penduduk cedera dan terbunuh berhampiran sekolah serta kawasan khemah.

Penduduk Palestin dari Bandar Gaza bergerak ke arah selatan sambil membawa barang-barang mereka di jalan pesisir berhampiran kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza, pada 19 September lalu. -Foto AFP
Penduduk Palestin dari Bandar Gaza bergerak ke arah selatan sambil membawa barang-barang mereka di jalan pesisir berhampiran kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza, pada 19 September lalu. -Foto AFP

Keadaan tersebut membuktikan perpindahan besar-besaran tidak menjamin keselamatan orang awam.

Lebih membimbangkan, tentera Israel memberi amaran kepada badan bantuan bahawa hanya hospital dikira sebagai tapak dilindungi di utara Gaza.

Amaran itu menambah risiko kepada pusat kemanusiaan lain yang sebelum ini menjadi talian hayat penduduk.

Israel turut menutup atau menyekat lintasan tertentu ke kawasan utara yang berdepan kebuluran, mencetuskan kebimbangan baharu terhadap aliran bekalan makanan.

Kuasa veto AS

Di peringkat antarabangsa, Amerika Syarikat (AS) pada 18 September bertindak menggunakan kuasa veto ke atas resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata dan akses bantuan tanpa syarat ke Gaza.

Langkah itu memperlihatkan sokongan Washington kepada ruang operasi Israel.

Dalam masa sama, utusan AS mendedahkan perbincangan awal dengan beberapa negara Teluk mengenai kemungkinan pentadbiran sementara Gaza selepas perang, namun butiran struktur, mandat dan tempoh peralihan masih belum jelas.

Bagaimanapun, laporan turut menyebut Netanyahu menolak penglibatan Pihak Berkuasa Palestin dan keberadaan negara Palestin pascaperang, pendirian yang menyukarkan keserasian pelan transisi anjuran AS dan Teluk.

Di pihak dunia Arab dan blok Islam pula, serangan besar-besaran serta eksodus berterusan dikecam keras sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Mereka menuntut akses bantuan segera dibuka sepenuhnya serta jaminan perlindungan kepada orang awam.

Laporan media serantau menggambarkan panik dalam kalangan penduduk ketika pertempuran bergerak ke pusat bandar, sementara talian hayat seperti makanan, perubatan dan telekomunikasi rapuh atau terputus.

Halangan terbesar kini ialah akses bantuan berskala. Tanpa pembukaan lintasan yang konsisten dan selamat, sebarang zon kemanusiaan tidak dapat berfungsi apatah lagi melindungi populasi yang dipaksa berpindah berkali-kali.

Beban perpindahan terkini menekan kawasan selatan seperti Deir al-Balah dan Khan Younis yang sedia padat.

Risiko penyakit berjangkit meningkat akibat kepadatan khemah, kekurangan air bersih dan sistem sanitasi.

Kerosakan terhadap premis yang menempatkan mangsa, termasuk kemudahan di bawah seliaan agensi PBB, menjadikan rantaian pengagihan bantuan semakin rapuh walaupun jumlah pelarian terus meningkat.

Secara taktikal, pendekatan blok demi blok Israel mungkin mengurangkan keupayaan militan dalam jangka pendek.

Namun, kos kemanusiaan, nyawa, trauma dan kehilangan tempat tinggal dijangka menanam radikalisasi generasi baharu.

Kesan perang merebak

Sebarang salah perhitungan berisiko mencetuskan kesan peperangan yang dijangka merebak ke Lebanon, Syria atau Teluk.

Netanyahu pula berjanji meneruskan serangan sehingga Hamas ditewaskan sepenuhnya. Kenyataan itu memberi gambaran bahawa operasi akan berlarutan tanpa garis masa gencatan senjata.

Dengan kuasa veto AS di PBB, tumpuan antarabangsa kini beralih kepada persoalan pascaperang.

Namun tanpa persetujuan mengenai siapa yang bakal mentadbir Gaza serta bagaimana perkhidmatan asas dapat dipulihkan, pelan peralihan masih kabur.

Dalam minggu-minggu terdekat, faktor penentu termasuk keberhasilan meningkatkan akses bantuan, keberkesanan tekanan diplomatik, dan kejelasan pelan politik pascaperang yang realistik.

Kenyataan pemimpin Arab-Islam yang menuduh Israel melakukan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai pula menunjukkan jurang besar dengan pendirian AS yang terus mempertahankan operasi Israel.

Israel dilihat bukan sekadar menjalankan operasi ketenteraan malah negara haram itu sedang mengubah demografi, menghancurkan jaringan sosial, dan menjerumuskan Gaza ke ambang krisis kemanusiaan kronik yang sukar dipulihkan.

Ringkasan AI

  • Serangan Israel ke atas Bandar Gaza kini memasuki fasa paling agresif
  • Penduduk Bandar Gaza menghadapi pengeboman harian, kekurangan makanan, air dan rawatan yang mencabar kelangsungan hidup
  • Berlaku jurang besar antara jumlah penduduk yang berpindah dengan kapasiti bantuan
  • AS guna kuasa veto halang resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi gencatan senjata dan akses bantuan tanpa syarat ke Gaza
  • Tanpa pembukaan lintasan yang konsisten dan selamat, zon kemanusiaan tidak dapat berfungsi dengan baik
  • Risiko penyakit berjangkit meningkat akibat kepadatan dan kekurangan akses kepada air bersih

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!