Iktiraf negara Palestin, hanya harapan palsu?

GENTING GAZA - Pengiktirafan negara Palestin di bawah langkah simbolik dibuat Britain, Kanada, Australia dan Portugal pada Ahad menerima pelbagai reaksi penduduk Palestin.
Di Gaza, ramai melihat ia sebagai pengesahan terhadap kewujudan mereka selepas perang genosid berlarutan selama lebih 23 bulan.
"Negara antarabangsa akhirnya mendengar suara kami dan ia jelas kemenangan moral buat penduduk Palestin. Ia memberi sedikit harapan kepada kami setelah berdepan kesengsaraan selama ini," ujar Salwa Mansour, 35, yang berpindah dari Rafah ke 'zon selamat' ciptaan Israel di al-Mawasi.
Britain dan Kanada menjadi negara pertama dalam Kumpulan Tujuh (G7) mengiktiraf negara Palestin sebagai usaha memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan perang ganas di Gaza.
Mohammed Abu Khousa di Deir al-Balah berharap negara lain akan mengikut jejak langkah empat negara tersebut.
Tetapi, terdapat juga penduduk Palestin yang skeptikal dengan keputusan sedemikian kerana disifatkan sebagai bukan langkah konkrit.
"Pengiktirafan sahaja tidak cukup kerana sebelum ini sudah banyak negara ambil tindakan sama. Tetapi, tiada apa yang berubah.
"Serangan puak ekstremis Yahudi dan serbuan askar Zionis semakin meningkat, ramai penduduk Palestin ditahan dan harta benda kami diceroboh.
"Walaupun negara Eropah mengiktiraf kami, ia tidak membantu kami sama sekali," rungut Mohammed Azzam di Ramallah.
Israel yang berang dengan 'pengkhianatan' negara Barat bertindak balas dengan mengumumkan rancangan mengilhak Tebing Barat yang diduduki sejak 1967 meskipun ia melanggar undang-undang antarabangsa. - Agensi
INFO
Negara yang mengiktiraf dan bakal mengakui negara Palestin:
>Menurut data AFP, tiga perempat atau kira-kira 145 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengiktiraf negara Palestin.
>Beberapa negara lain seperti Perancis, Belgium, Luxembourg dan Malta dijangka mengambil langkah sama ketika sidang kemuncak mengenai masa depan penyelesaian dua negara yang dipengerusikan Perancis dan Arab Saudi di ibu pejabat PBB di New York.
>Rusia bersama kesemua negara Arab, majoriti negara Afrika dan Amerika Latin serta negara Asia termasuk India dan China sudah pun berada dalam senarai.
>Algeria menjadi negara pertama mengiktiraf negara Palestin pada 15 November 1988, beberapa minit selepas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat mengisytiharkan negara Palestin merdeka secara unilateral.
>Langkah sama diambil puluhan negara lain dan disusuli gelombang baharu pengiktirafan antarabangsa pada akhir 2010 dan awal 2011.
Ringkasan AI
- Britain, Kanada, Australia dan Portugal mengiktiraf negara Palestin
- Ramai penduduk Palestin gembira dengan pengiktirafan ini
- Sesetengah penduduk Palestin skeptikal kerana tiada perubahan konkrit
- Israel bertindak balas dengan merancang untuk mengilhak Tebing Barat
- Lebih 145 negara di PBB telah mengiktiraf Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

