Ibu menangis mengaku sebabkan kematian bayi sendiri

PARIT - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit pada Isnin atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian anak bongsunya yang berusia dua bulan pada Khamis lalu.
Tertuduh, Dewinta Tefa, 36, didakwa dengan cuai menyebabkan kematian Arkan Andre Soveral Asit di sebuah rumah di Jalan Sungai Jejawi, Kampung Sungai Dua, Kota Setia dalam daerah Perak Tengah jam 5.30 pagi pada 18 September 2025.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang merupakan ibu kepada enam anak itu kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kecuaian wanita itu yang menyebabkan kematian anaknya walaupun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Nurul Syuhada Mohd Yusof memohon agar hukuman denda paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya yang merupakan seorang suri rumah dan ditanggung suami dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500 sebagai pekerja ladang sawit.
Beliau turut memaklumkan bahawa wanita itu mempunyai enam anak dengan empat daripada mereka menetap di Indonesia manakala anak kelima dan bongsu yang meninggal dunia tinggal bersamanya di Malaysia.
Majistret Nurul Izalina Rajaai kemudian menjatuhi hukuman denda RM2,000 serta berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh turut kelihatan sebak dan menangis teresak-esak sebaik sahaja ditunjukkan gambar bayi lelakinya dan tempat kejadian berlaku.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.
Pada 20 September, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan maut selepas mangsa dipercayai tertindih badan ibunya ketika sedang tidur di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Kota Setia, di sini.
Berdasarkan hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat bayi terbabit di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, punca kematian mangsa disebabkan oleh otak membengkak dan paru-paru sembab yang disebabkan oleh lemas udara.
Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 dan ibu bayi itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga Indonesia didakwa atas pertuduhan cuai menyebabkan kematian anaknya yang berusia dua bulan
- Tertuduh mengaku bersalah dan mempunyai enam anak dengan empat daripada mereka menetap di Indonesia
- Dituntut hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan
- Majistret menjatuhi hukuman denda RM2,000 dan penjara enam bulan jika gagal membayar denda
- Bayi maut disebabkan otak membengkak dan paru-paru sembab akibat lemas udara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

