Suspek tetak bersama bapa direman lima hari

SUNGAI PETANI - Lelaki yang bertindak menetak mangsa di Flat Paya Nahu, di sini dalam kejadian pada Ahad ditahan reman bersama bapanya bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, permohonan reman ke atas suspek berusia 20-an dan bapanya berusia 50-an dilakukan di Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada Isnin.
Permohonan reman dibenarkan selama lima hari bermula Isnin bagi kedua-duanya bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut Hanyan, siasatan awal setakat ini mendapati tiada unsur gengsterisme atau penyalahgunaan dadah bagaimanapun siasatan terperinci akan dijalankan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an cedera pada kaki dan tangan akibat ditetak lelaki tidak dikenali, dalam kejadian di Flat Paya Nahu pada Ahad.
Menurut Hanyan, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.55 petang, memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
"Maklumat awal yang diterima memaklumkan bahawa berlaku pergaduhan dan ada mangsa yang cedera...siasatan kemudiannya mendapati mangsa mengunjungi rumah abangnya di kawasan perumahan terbabit pada jam 3 petang.
"Bagaimanapun ketika tiba di sana, kakak iparnya memaklumkan abangnya tiada di rumah lalu dia menunggu abangnya di bawah blok sebelum suspek tidak dikenali datang dan terus menetak mangsa," katanya.
Mangsa dipercayai ditetak dengan senjata tajam dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Ringkasan AI
- Lelaki yang menetak mangsa di Flat Paya Nahu ditahan reman bersama bapanya
- Reman dibenarkan selama lima hari untuk membantu siasatan
- Tiada unsur gengsterisme atau penyalahgunaan dadah dalam siasatan awal
- Mangsa cedera pada kaki dan tangan akibat ditetak
- Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

