Peruntukan STR dijangka naik hingga RM2 bilion

Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah dijangka meningkat antara RM1 bilion dan RM2 bilion dalam Belanjawan 2026. (Gambar kecil: Mustazar)
Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah dijangka meningkat antara RM1 bilion dan RM2 bilion dalam Belanjawan 2026. (Gambar kecil: Mustazar)
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dijangka meningkat antara RM1 bilion dan RM2 bilion dalam Belanjawan 2026 susulan jangkaan pertambahan penerima, tekanan inflasi dan penjimatan hasil daripada rasionalisasi subsidi.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berpandangan, berbanding tahun ini, peruntukan STR adalah sebanyak RM11 bilion dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula sebanyak RM2 bilion.

Menurutnya, langkah tersebut wajar dipertimbangkan kerana bantuan tunai STR dan SARA masih menjadi keperluan utama rakyat ketika berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“STR misalnya, merupakan platform terbaik untuk menyalurkan subsidi secara terus dan bersasar berbanding pendekatan umum yang berisiko berlaku ketirisan kepada golongan tidak layak termasuk warga asing.

“Kesan daripada situ, akan ada lebihan hasil subsidi yang sebelum ini disalurkan kepada kumpulan tidak sepatutnya. Jadi, kenaikan peruntukan STR dan bantuan tunai khas dalam Belanjawan 2026 boleh memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat.

“Ini penting kerana pasaran antarabangsa tidak menentu, perubahan polisi tarif Amerika Syarikat (AS) dan faktor geopolitik global turut memberi kesan kepada ekonomi domestik,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai sumber kewangan untuk menampung kenaikan STR, Mustazar menjelaskan, kerajaan mempunyai ruang melalui penjimatan subsidi, pengukuhan kutipan cukai, peluasan cukai termasuk sektor ekonomi informal serta hasil bukan cukai.

Beliau berkata, sektor ekonomi digital dan teknologi hijau juga berpotensi besar menjana pendapatan baharu selain pelaburan langsung asing (FDI) yang dijangka meningkat melalui integrasi pasaran ASEAN.

“FDI bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara malah membawa hasil cukai yang lebih besar kepada kerajaan dan membuka peluang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga perlu menilai semula keberkesanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya lebih efisien, berdaya saing dan mampu menyumbang hasil dalam bentuk dividen atau cukai. Ini akan mengurangkan pergantungan kerajaan kepada hutang,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mustazar menegaskan, STR tidak boleh hanya diukur berdasarkan jumlah penerima, sebaliknya petunjuk terbaik adalah kemampuan bantuan itu mengangkat taraf hidup golongan B40.

Beliau menjelaskan, dengan kewujudan sistem data bersepadu, kerajaan mampu menilai sama ada penerima B40 berjaya beralih kepada M40.

“Kalau dahulu B40 di bawah RM2,000 atau RM4,000, sekarang ambang itu meningkat kepada hampir RM10,000. Jadi kalau pendapatan mereka naik, bermakna taraf hidup juga lebih baik.

“Indikator lain termasuk akses kepada pendidikan, perumahan, barangan asas, kesihatan dan kualiti hidup. Kita tidak mahu bantuan ini hanya menjadi penyelesaian jangka pendek tetapi gagal mengurangkan jurang kemiskinan dalam jangka panjang,” jelasnya.

Beliau menambah, data yang tepat dan penyampaian bantuan yang telus penting bagi mengelakkan penerima mendapat lebih daripada sepatutnya, sekali gus menjejaskan keberkesanan dasar.

Dalam pada itu, Mustazar mengingatkan kerajaan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada STR sebagai strategi jangka panjang kerana ia boleh memberikan kesan terhadap penarafan kredit negara.

Sebaliknya, kerajaan perlu mengimbangi perbelanjaan bantuan tunai dengan sektor penting lain seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

“Jika satu hari nanti subsidi tunai STR dapat dikurangkan, dana itu boleh dialihkan ke sektor yang lebih kritikal. Pendidikan dan kesihatan yang mantap serta infrastruktur moden akan menarik pelabur asing dan tenaga mahir ke Malaysia.

“Negara maju memerlukan asas pendidikan menyeluruh, sistem kesihatan kukuh dan infrastruktur pengangkutan serta telekomunikasi yang baik. Semua ini perlu dirancang untuk jangka panjang,” jelas beliau.

Ringkasan AI

  • Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah dijangka meningkat antara RM1 bilion dan RM2 bilion dalam Belanjawan 2026 Bantuan tunai STR dan SARA dianggap perlu bagi menangani kos sara hidup yang meningkat Kenaikan peruntukan diharapkan memberi kelegaan kepada rakyat dengan menyasarkan subsidi secara lebih efektif Sumber kewangan untuk kenaikan ini meliputi penjimatan subsidi, pengukuhan kutipan cukai, dan pendapatan dari sektor ekonomi digital dan teknologi hijau Kerajaan disaran untuk mengimbangi perbelanjaan bantuan tunai dengan melabur dalam pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur untuk pembangunan jangka panjang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!