Belanjawan: LKIM harap bantuan subsidi minyak, perumahan diteruskan

Muhammad Faiz (empat dari kiri) menyerahkan bantuan kepada nelayan ketika Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Pulau Pinang di Jelutong pada Isnin.
Muhammad Faiz (empat dari kiri) menyerahkan bantuan kepada nelayan ketika Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Pulau Pinang di Jelutong pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan meneruskan subsidi minyak, projek perumahan nelayan serta menaik taraf kemudahan kompleks pendaratan ikan dalam Belanjawan 2026.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, subsidi minyak masih menjadi nadi utama kelangsungan hidup nelayan dan perlu diteruskan sebagai insentif kos operasi.

“Kami mohon semua insentif operasi khususnya subsidi minyak dikekalkan kerana amat penting kepada nelayan.

“Hampir 40 peratus nelayan tinggal di rumah sempit dan tidak sesuai, justeru projek perumahan nelayan perlu diteruskan demi kebajikan mereka,” katanya ketika Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Pulau Pinang di Jelutong pada Isnin.

Beliau berkata, banyak kompleks pendaratan ikan di seluruh negara sudah usang dan perlu dibaik pulih segera.

"Setakat ini, kerja baik pulih sedang dijalankan di kompleks pendaratan ikan Chendering, Kemaman dan Dungun manakala beberapa lokasi lain seperti Kota Tinggi serta Lumut turut dikenal pasti memerlukan perhatian segera.

“Kami sedang menilai kos keseluruhan, namun berharap ada peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 untuk baik pulih dan naik taraf kompleks berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, nelayan juga berharap kerajaan menimbang pengecualian duti import terhadap peralatan seperti pukat, jaring, enjin dan sebagainya yang membebankan mereka.

“Walaupun ada bahan akuakultur dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), nelayan masih memohon pelepasan lebih menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

“Isu duti import ini memerlukan kajian teliti kerana ia juga melibatkan hasil negara, namun perbincangan sedang berjalan di peringkat kementerian dan Kabinet,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Pulau Pinang, beliau berkata, seramai 230 nelayan di negeri ini menerima bantuan Program Peningkatan Pendapatan Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point).

Antara nelayan menerima bantuan Touch Point oleh LKIM.
Antara nelayan menerima bantuan Touch Point oleh LKIM.

Menurutnya, sebanyak RM180,000 diperuntukkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Seberang Perai, PNK Pulau Pinang Selatan, PNK Teluk Bahang dan PNK Ujong Batu.

"Penyerahan bantuan ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.

"Selain itu, bantuan ini juga bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan. Bantuan melibatkan pukat, tangkul udang dan tong insulasi," katanya.

Dalam majlis sama, Muhammad Faiz turut menyampaikan bantuan di bawah Program Bantuan Bakul Makanan kepada 60 orang penerima dari Unit Nelayan Jelutong dan Unit Nelayan Kuala Sungai Pinang dengan jumlah keseluruhan RM4,500.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!