LKAN: Kutipan yuran pelajar, perbelanjaan UKM tidak teratur

Laporan Ketua Audit Negara mendapati ketidakaturan dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKMShape, UKM.
Laporan Ketua Audit Negara mendapati ketidakaturan dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKMShape, UKM.
A
A
A

SHAH ALAM – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 melaporkan berlaku ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan melibatkan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

LKAN bagi Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024 menyatakan kutipan hasil yuran pelajar bagi program Sarjana Pendidikan (SPEND) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) berjumlah RM60.77 juta sepatutnya diakaunkan berdasarkan surat tawaran yang dikeluarkan kepada 17,193 pelajar, melibatkan 787 pelajar SPEND dan 16,406 pelajar DPLI.

“Bagaimanapun, hanya RM28.41 juta diiktiraf sebagai hasil universiti, manakala RM32.36 juta yang diterima dan diagihkan kepada Koperasi B-5-1788 tidak diperakaunkan sebagai hasil UKM, sekali gus menyebabkan hasil tahun 2024 terkurang nyata dalam penyata kewangan universiti.

“Sejumlah RM50.74 juta yuran pelajar (pula) telah dikutip oleh Koperasi B-5-1788 tanpa perwakilan kuasa bertulis daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan UKM,” kata LKAN.

Selain itu, menurutnya, perjanjian kerjasama antara UKM dan koperasi berkenaan yang ditandatangani pada 15 Jun 2023 didapati tidak mendapat kelulusan LPU dan Menteri Kewangan, menjadikan perjanjian tersebut tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan UKM.

Semakan audit juga mendapati agihan yuran berjumlah RM21.02 juta diserahkan lewat kepada UKM antara 31 hingga 291 hari selepas tarikh akhir pendaftaran pelajar.

“Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak RM5.32 juta yuran pelajar masih belum diserahkan kepada UKM, dengan sebahagiannya tertunggak melebihi tiga tahun,” tambahnya.

Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024 mengenai ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan UKMShape.
Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024 mengenai ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan UKMShape.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, LKAN memaklumkan, wujud konflik kepentingan apabila lima pegawai UKM memegang jawatan penting dalam pengurusan Koperasi B-5-1788, termasuk sebagai Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Ahli Lembaga Koperasi.

Keadaan tersebut didapati bercanggah dengan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) serta peraturan tatakelakuan pegawai awam.

“Dari aspek perbelanjaan pula, audit mendapati pembayaran berjumlah RM6.69 juta dibuat secara tidak teratur, antaranya melibatkan bayaran komisen RM5.94 juta kepada 41 ejen pengambilan pelajar yang tidak layak sama ada kerana tiada dalam senarai kelulusan Mesyuarat Pengurusan Universiti (MPU) atau tiada surat pelantikan dikeluarkan.

“Turut dikenal pasti ialah bayaran perbelanjaan ke luar negara kepada individu bukan kakitangan UKM berjumlah RM107,907, elaun pelajar sangkutan industri RM35,000 kepada pelajar tidak layak, pendahuluan RM200,000 tanpa punca kuasa serta perolehan pakej penginapan dan promosi RM403,500 yang tidak melalui Jawatankuasa Sebut Harga,” ujar LKAN.

LKAN menjelaskan, dalam maklum balas bertarikh 22 Januari 2026, pihak UKM memaklumkan bahawa UKMShape telah mengambil alih sepenuhnya proses pengambilan dan kutipan yuran pelajar DPLI bermula Kohort 7 Semester 1 Sesi 2025/2026 dan merancang pelaksanaan sama bagi SPEND.

UKM juga memaklumkan pelarasan perakaunan telah dibuat bagi mengiktiraf hasil yang sepatutnya serta tindakan tuntutan terhadap baki hutang koperasi sedang dilaksanakan mengikut Polisi Pengurusan Hutang Universiti.

Sehubungan itu, LKAN mengesyorkan supaya dikaji semula perjanjian kerjasama sedia ada dan apa-apa perjanjian akan datang berhubung dengan yuran pelajar supaya selaras dengan Perlembagaan UKM.

Tegasnya, UKM juga perlu mengutip baki yuran pelajar yang belum diserahkan oleh koperasi kepada pihak universiti.

Ringkasan AI

  • Laporan Ketua Audit Negara mendapati ketidakaturan dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKMShape, UKM
  • Kutipan hasil yuran pelajar berjumlah RM60.77 juta tidak diakaunkan sepenuhnya dalam penyata kewangan universiti
  • Perjanjian kerjasama dengan koperasi tidak mendapat kelulusan yang diperlukan dan didapati bercanggah dengan peruntukan
  • Konflik kepentingan dikenal pasti di kalangan lima pegawai UKM yang memegang jawatan penting dalam pengurusan koperasi
  • Sejumlah besar pembayaran dibuat secara tidak teratur, termasuk bayaran kepada ejen pengambilan pelajar yang tidak layak dan perbelanjaan tidak sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!