RUU had tempoh PM ambil kira perkhidmatan terdahulu - Azalina

Azalina. Foto Bernama
Azalina. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang telah dilalui, sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, menerusi pindaan itu, had maksimum 10 tahun akan dikira secara retrospektif atau ke belakang, termasuk terhadap penyandang dan bekas Perdana Menteri.

Menurutnya, jika Perdana Menteri sedia ada memenangi pilihan raya umum (PRU) dan dilantik semula, beliau masih boleh memegang jawatan itu, namun baki tempoh yang dibenarkan adalah berdasarkan had keseluruhan 10 tahun.

“Contohnya PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), jika sudah berkhidmat tiga tahun, beliau hanya berbaki tujuh tahun, bukannya diberikan tempoh baharu 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Taklimat Menteri mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 di Parlimen pada Isnin.

Memberi contoh lain, Azalina berkata, perkara sama terpakai kepada bekas Perdana Menteri seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sekiranya mana-mana bekas Perdana Menteri itu dilantik semula, tempoh yang boleh dipegang adalah berdasarkan baki daripada had maksimum 10 tahun selepas ditolak tempoh perkhidmatan terdahulu.

“Mungkin ada individu yang tidak lagi layak kerana telah melebihi had 10 tahun. Itulah inti pati pindaan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan had tempoh jawatan Perdana Menteri dibuat secara menyeluruh dan adil selaras dengan cadangan pembaharuan institusi.

Artikel Berkaitan:

Azalina bagaimanapun menambah jika RUU berkenaan diluluskan kelak, ia boleh dipinda semula mengikut kerajaan semasa yang mentadbir.

Katanya, tempoh 10 tahun yang dicadangkan boleh ditarik balik dan digantikan dengan pendekatan lain, termasuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri semasa untuk memegang jawatan tanpa had tempoh.

Mengenai sejauh mana beliau optimis bahawa RUU berkenaan akan diluluskan, Azalina berkata, beberapa cadangan pindaan akan diperhalusi menerusi sesi pertemuan lanjut bersama semua blok parti dalam masa terdekat.

Ujar beliau, pertemuan itu dijangka diadakan dalam tempoh seminggu ini, bagi mendapatkan maklum balas terkini daripada setiap parti.

Ahli Parlimen Pengerang itu menegaskan, sokongan rentas parti penting dalam memperkukuh agenda reformasi serta memastikan tadbir urus negara dilaksanakan secara lebih bertanggungjawab dan berintegriti.

Terdahulu, Azalina membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memaklumkan bacaan kali kedua bagi RUU tersebut akan dibentangkan pada minggu depan. - Awani

Ringkasan AI

  • Pindaan Perlembagaan akan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun secara retrospektif
  • Had maksimum 10 tahun merangkumi tempoh perkhidmatan sebelum ini bagi penyandang dan bekas Perdana Menteri
  • Jika Perdana Menteri sedia ada memenangi PRU dan dilantik semula, baki tempoh yang dibenarkan adalah berdasarkan had 10 tahun
  • Bekas Perdana Menteri yang dilantik semula hanya boleh memegang jawatan berdasarkan baki daripada had maksimum 10 tahun
  • Pindaan bertujuan memastikan pelaksanaan had tempoh jawatan Perdana Menteri secara menyeluruh dan adil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!