Pegawai Afghanistan tolak tuntutan AS ke atas pangkalan Bagram

Donald Trump memberi amaran akan berlaku 'perkara buruk' jika Afghanistan tidak mengembalikan semula Pangkalan Udara Bagram. Foto EPA
Donald Trump memberi amaran akan berlaku 'perkara buruk' jika Afghanistan tidak mengembalikan semula Pangkalan Udara Bagram. Foto EPA
A
A
A

KABUL - Pegawai Afghanistan dengan tegas menolak ancaman Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan semula Pangkalan Udara Bagram, sambil menegaskan sebarang cubaan menubuhkan semula kehadiran tentera asing akan ditentang habis-habisan, lapor Xinhua.

Timbalan Pertama Direktorat Perisikan Afghanistan, Mullah Tajmir Jawad berkata, kerajaan Afghanistan akan mempertahankan sistem sedia ada berhubung tuntutan AS untuk mengambil alih semula pangkalan udara strategik itu.

Nada sama disuarakan Menteri Pertahanan Afghanistan, Mohammad Yaqoob Mujahid.

"Jawapan kami, jika kamu tidak berundur dan mahu pangkalan, kami bersedia untuk berperang dengan kamu selama 20 tahun lagi,” katanya kepada media.

Pengarah Politik Kementerian Luar Afghanistan, Zakir Jalaly pula menolak idea kemasukan semula tentera AS dengan menegaskan rakyat Afghanistan "tidak pernah menerima tentera asing di tanah air mereka” dan sebarang dialog dengan Washington mesti mengecualikan soal penempatan semula tentera.

Pangkalan Udara Bagram, terletak kira-kira 50 kilometer di utara Kabul, pernah menjadi pusat operasi AS dan NATO sepanjang perang selama dua dekad.

Sementara itu di Washington, Presiden AS, Donald Trump pada Sabtu memberi amaran akan berlaku "perkara buruk” jika Afghanistan tidak "mengembalikan semula Pangkalan Udara Bagram.”

"Jika Afghanistan tidak menyerahkan kembali Pangkalan Udara Bagram kepada pihak yang membinanya, iaitu Amerika Syarikat, PERKARA BURUK AKAN BERLAKU!!!” tulis Trump di akaun Truth Social miliknya.

Pengunduran tentera AS pada 2021 menyebabkan Taliban mengambil alih pangkalan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatannya baru-baru ini ke Britain, Trump berkata, Amerika Syarikat sedang "berusaha mendapatkan semula” pangkalan itu.

Kenyataan itu menarik perhatian dan mencetuskan spekulasi sama ada AS bercadang untuk menghantar semula tenteranya ke Afghanistan.

Pada Sabtu, Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa Amerika Syarikat kini berbincang dengan Afghanistan mengenai usaha menguasai semula pangkalan itu, dengan berkata: "Kami mahu ia dikembalikan, kami mahu ia dikembalikan segera, serta merta.”

"Jika mereka tidak lakukannya, anda akan tahu apa yang akan saya lakukan,” kata Trump. - Bernama-Xinhua

 

 

Ringkasan AI

  • Pegawai Afghanistan menolak ancaman AS untuk mendapatkan semula Pangkalan Udara Bagram
  • Mullah Tajmir Jawad menyatakan kerajaan Afghanistan akan mempertahankan sistem sedia ada
  • Mohammad Yaqoob Mujahid menyatakan kesediaan berperang selama 20 tahun lagi untuk mempertahankan pangkalan itu
  • Zakir Jalaly menolak idea kemasukan semula tentera AS dan menegaskan rakyat Afghanistan tidak menerima tentera asing
  • Donald Trump memberi amaran akan berlaku "perkara buruk" jika Afghanistan tidak mengembalikan semula Pangkalan Udara Bagram

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!