Qatar buka semula ruang udara, rakyat Malaysia diminta rancang perjalanan

SHAH ALAM - Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar, memaklumkan bahawa ruang udara Qatar telah dibuka semula setelah ditutup sementara pada malam Isnin susulan ketegangan yang terus memuncak di rantau Asia Barat.
Susulan itu, pihak kedutaan menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk melakukan perjalanan agar menyemak maklumat terkini mengenai status penerbangan masing-masing bagi memastikan kelancaran perjalanan.
“Rakyat Malaysia yang masih berada di Qatar dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengikuti perkembangan semasa melalui sumber yang sahih serta mematuhi arahan rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Qatar.
“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila berhubung sama ada melalui emel: mwdoha@kln.gov.my atau talian +974-4483 6463 (waktu pejabat) dan +974-3374 6733 (selepas waktu pejabat),” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Krisis yang memuncak antara Iran dan Israel kini memberi kesan kepada laluan udara global apabila syarikat penerbangan utama dunia bertindak menggantung dan mengubah laluan penerbangan di Timur Tengah berikutan peningkatan risiko keselamatan.
Ruang udara yang lazimnya sibuk merentasi Iran, Iraq hingga ke Mediterranean kini hampir kosong sejak Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 13 Jun lalu.
Ketegangan semakin memuncak selepas Iran membalas dengan melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar pada Isnin.
Ekoran situasi tegang itu, Qatar mengambil langkah drastik menutup ruang udaranya, diikuti oleh Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain sebagai langkah berjaga-jaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

