Maklumat bocor: Saksi pelajar dan ibunya menangis, dalam keadaan trauma - Ram Singh

Ram Singh membuat laporan polis di Balai Polis Luyang, Kota Kinabalu. Gambar kecil: Zara Qairina
Ram Singh membuat laporan polis di Balai Polis Luyang, Kota Kinabalu. Gambar kecil: Zara Qairina
A
A
A

KOTA KINABALU – Kebocoran maklumat sulit dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir menimbulkan trauma mendalam kepada seorang saksi remaja apabila butiran peribadi dan keterangannya tersebar di media sosial.

Peguam, Datuk Ram Singh berkata, beliau sendiri bertemu saksi berkenaan bersama ibunya pada Jumaat dan mendapati kedua-duanya berada dalam keadaan tertekan serta menangis akibat pendedahan tersebut.

“Kebocoran maklumat itu menimbulkan ketakutan serta tekanan emosi kepada saksi pelajar. Saya sendiri telah menemui saksi dan ibunya pada pagi ini (semalam) dan mereka dalam keadaan trauma serta menangis akibat pendedahan tersebut,” katanya dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Luyang kira-kira jam 4.14 petang.

Menurutnya, maklumat sulit berkenaan sepatutnya direkodkan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, namun didedahkan secara tidak bertanggungjawab di media sosial dan turut tular melalui aplikasi WhatsApp serta TikTok.

“Pendedahan tersebut mengandungi nama penuh, alamat rumah, nombor pengenalan diri, malah video di aplikasi TikTok turut memaparkan nama-nama kelima-lima kanak-kanak yang dituduh dalam kes ini,” jelasnya.

Ram menegaskan, kebocoran maklumat itu bukan sahaja mendedahkan saksi kepada risiko keselamatan, malah melanggar undang-undang berkaitan perlindungan saksi dan kanak-kanak, khususnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau meminta polis menyiasat segera pihak yang bertanggungjawab serta mengambil tindakan tegas agar prosiding inkues tidak terus tergugat.

Sementara itu, prosiding inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu ditangguhkan selepas keterangan saksi kelapan, Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Azhari Abd Sagap, 31.

Koroner Amir Shah Amir Hassan turut meluahkan kekecewaan selepas dimaklumkan mengenai kebocoran pernyataan saksi remaja pertama yang telah tersebar di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) keesokan harinya.

 

 

Ringkasan AI

  • Peguam Datuk Ram Singh membuat laporan polis atas kebocoran maklumat saksi dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Kota Kinabalu
  • Laporan dibuat susulan kenyataan saksi pelajar tersebar di media sosial dan WhatsApp termasuk butiran peribadi
  • Kebocoran maklumat itu termasuk satu video di TikTok yang memaparkan nama-nama kanak-kanak yang dituduh dalam kes
  • Keadaan ini menimbulkan ketakutan dan tekanan emosi pada saksi pelajar yang terlibat
  • Laporan polis dibuat untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kebocoran informasi untuk melindungi prosiding inkues

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!