Tragedi kolam kumbahan: Polis buka siasatan kes tiga kanak-kanak lemas

Laporan Sinar Harian mengenai tragedi tiga kanak-kanak lemas di kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya.
Laporan Sinar Harian mengenai tragedi tiga kanak-kanak lemas di kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya.
A
A
A

SIBU - Polis telah membuka siasatan berhubung tiga kanak-kanak lemas dalam kejadian di kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan terhadap kematian tiga kanak-kanak berkenaan.

"Mayat kesemua mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sibu dan menurut hasil pemeriksaan awal mendapati, tiada sebarang kecederaan luaran pada badan kesemua mangsa. Setakat ini tiada unsur jenayah dikesan.

"Kes dibuka siasatan sebagai mati mengejut (SDR) dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Seksyen tersebut membabitkan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal atau emosi.

Katanya lagi, sementara siasatan sedang dijalankan, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses siasatan.

"Orang ramai juga diminta untuk menghormati privasi keluarga mangsa dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diharap dapat tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Dalam kejadian tersebut, mangsa Macx Devdynne Sharie Merdeka, 12, bersama adiknya Macx Welwait, 9 dan Daniella Arissa Tayas Ak Maringgai, 10, ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dalam kolam tersebut.

Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut berjaya dibawa naik ke tebing kolam oleh orang awam sebelum disahkan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis membuka siasatan berhubung tiga kanak-kanak lemas di kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya
  • Tiada unsur jenayah dikesan dalam kematian tiga kanak-kanak tersebut
  • Siasatan dibuka sebagai mati mengejut dan melibatkan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001
  • Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan spekulasi mengenai insiden tersebut
  • Dua mangsa merupakan adik beradik yang ditemukan tidak sedarkan diri di kolam tersebut sebelum disahkan meninggal dunia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!