Kembalikan NTF, tambah baik teknologi perkukuh keselamatan nasional - Kajian UPNM

SEPANG - Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) perlu diwujudkan kembali selain penambahan aset teknologi dalam usaha membendung pencerobohan dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam negara.
Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Noraini Zulkafli @ Zulkifli berkata, ancaman keselamatan di sempadan ketika ini semakin mencabar berikutan bentuk muka bumi yang pelbagai.
Menurutnya, penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta dron di lokasi berisiko amat membantu petugas keselamatan negara khususnya Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Tentera Darat Malaysia dalam membuat pemantauan.
“Menerusi pengesanan melalui CCTV, anggota operasi boleh terus berhubung antara satu sama lain untuk ke lokasi.
“Ia menjimatkan sumber manusia dan rondaan dapat dilakukan dengan lebih strategik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre, di sini pada Jumaat.
Beliau sebelum itu membentangkan kajian dalam konteks risiko rasuah, governans dan integriti bertajuk Pendatang Asing di Sempadan Darat Malaysia dan Impak kepada Keselamatan Nasional.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurut Noraini, terdapat banyak laluan haram di sempadan darat negara yang boleh dikategorikan sebagai laluan tikus dan laluan gajah.
“Bagaimana dengan laluan-laluan gajah, laluan tikus ini? Perkara pertama ialah mempertingkatkan teknologi dalam penguatkuasaan, dan ini pelaburan utama bagi memperkasakan kedaulatan serta keselamatan negara.
“Kedua, kami mahu NTF diwujudkan semula seperti ketika Covid-19. Individu yang pernah bertugas dalam NTF menyatakan ia sangat berkesan kerana kerja digerakkan secara berpasukan dengan perkongsian maklumat antara agensi,” ujarnya.
Selain itu, kajian UPNM turut mencadangkan pembinaan menara tinjau yang dilengkapi teknologi, tembok keselamatan, serta penambahbaikan fasiliti anggota bertugas di sempadan.
NTF yang bertanggungjawab mengendalikan Op Benteng sejak 2020, telah dibubarkan secara rasmi pada 31 Disember 2022 selepas beroperasi selama dua tahun, tujuh bulan dan 25 hari.
Ringkasan AI
- Pasukan Petugas Kebangsaan perlu diwujudkan kembali untuk membendung pencerobohan dan penyeludupan PATI
- Penggunaan teknologi seperti CCTV dan dron membantu pemantauan oleh Pasukan Gerakan Am dan Tentera Darat Malaysia
- Pemantauan melalui CCTV membolehkan operasi pemantauan dilakukan secara lebih strategik dan menjimatkan sumber manusia
- Wujud banyak laluan haram di sempadan yang memerlukan peningkatan teknologi dalam penguatkuasaan
- Kajian UPNM mencadangkan pembinaan menara tinjau yang dilengkapi teknologi dan penambahbaikan fasiliti anggota bertugas di sempadan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
