MPAJ gempur premis guna pekerja asing tanpa permit

AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang didapati menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah dalam satu operasi penguatkuasaan lesen perniagaan dan penjaja yang dijalankan semalam.
Operasi yang diketuai Jabatan Penguatkuasaan MPAJ itu menyasarkan beberapa lokasi sekitar kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu pada Selasa.
Sebanyak 18 premis perniagaan telah diperiksa dan tujuh tindakan sitaan dilaksanakan selepas pemilik premis didapati melanggar syarat lesen ditetapkan, termasuk menggajikan pekerja tanpa dokumen sah.
MPAJ dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.
"MPAJ akan meneruskan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan pemilik premis mematuhi syarat lesen dan tidak mengambil kesempatan menggajikan tenaga kerja tanpa kelulusan sah," kata kenyataan itu pada Rabu.
MPAJ turut menggesa orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan atau cadangan berkaitan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di pautan https://mpaj.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau menghubungi talian bebas tol 1-800-22-8100.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!